Majalah Motosikal Tercanggih Di Malaysia ©      duniamoto@egroups.com
 MOTOTALK BIL. 38   Edisi Terdahulu   Cover & Poster   Kandungan   Edisi Seterusnya 

Musim Perayaan Kembali Lagi...

Musim Perayaan kini kembali menjemput Rakyat Malaysia melakukan aktiviti tradisi kita iaitu "Balik Kampung". Bermula bulan November, memperlihatkan permulaan sambutan perayaan pelbagai kaum Malaysia bermula dengan Deepavali dan pada pertengahan bulan 11 pula, Umat Islam mula berpuasa Ramadhan. Sebulan selepas itu, kita akan bersama-sama menyambut Aidilfitri pada bulan Disember. Lagi 6 hari untuk menamatkan 2001, Krismas mula menghangatkan semula suasana kompleks membeli belah. Nyata kepelbagaian kaum dan agama di negara kita menjanjikan sambutan perayaan yang berterusan dan dinikmati antara pelbagai kaum.

Walau bagaimana pun, tradisi balik kampung ini agak merisaukan saya kerana saban tahun jumlah kemalangan dan kematian di jalanraya tak pernah menunjukkan pengurangan. Dimanakah silap kita? Tidak cukupkah kempen-kempen kesalamatan yang dijalankan oleh pihak Kerajaan? Sia-siakah pengorbanan cuti raya yang terpaksa diambil oleh anggota Polis Trafik yang berhujan dan berpanas bersedia dengan perangkap laju bagi mengelakkan pengguna jalanraya memandu dengan rakus di "litar lebuh raya"?

Untuk kesekian kalinya, saya memohon anda semua yang menunggang kembali ke kampung halaman, menungganglah dengan cermat. Perhatikan tanda-tanda jalan terutama ketika melalui kawasan-kawasan penempatan dan kilang-kilang di tepi Lebuhraya. Pastikan jentera anda dalam keadaan baik untuk ditunggang beratus-ratus kilometer dan berjam-jam lamanya. Keadaan bunga tayar yang sesuai untuk perjalanan jauh. Tidak lupa juga seruan saya agar anda semua mengenakan pakaian penunggangan yang lengkap, selamat dan kalau boleh, gunakanlah vest reflektif untuk keselamatan anda.

Saya amatlah berharap, anda semua mengamalkan tip-tip penunggangan yang anda ketahui untuk menunggang dengan selamat. Pastikan badan mendapat rehat secukupnya sebelum anda menunggang pulang ke kampung. Berhentilah di hentian rehat selepas 2-3 jam perjalanan untuk menghilangkan penat seketika. Sediakan baju hujan kerana kita telah sampai ke musim tengkujuh. Berhentilah ketika hujan yang terlalu lebat bagi mengelakkan kecelakaan. Sekiranya berpeluang, pulanglah dengan beberapa rakan motor (berkonvoi) untuk memberi lebih keselamatan terutama sekiranya jentera menghadapi masalah di tengah-tengah jalanraya. Sekurang-kurangnya, tidaklah anda keseorangan di tepi hutan belantara...

Terlanjur kita dibulan yang mulia ini, saya mewakili keluarga DM, ingin memohon maaf zahir dan batin sekiranya selama ini kami ada terkasar bahasa, tersilap cetak, terlanjur kenyataan, samada secara disedari atau tidak, kepada semua pihak. Semoga perayaan anda lebih bermakna dengan pergi dan pulangnya anda dengan selamat. Jangan biarkan keluarga anda bersedih di hari perayaan yang mulia ini.

Stay Cool and Stay Upright...
Joko Onn. Pengarah Editorial

Alamat surat menyurat yang baru :
Penerbit Majalah Dunia Moto,
Kay-A PERFORMA
8, Jalan SS17/2D, Subang Jaya
47500 Petaling Jaya, Selangor.


© 1998-2000 TIME-Tristan Publishing (M) Sdn. Bhd.   Hakcipta Terpelihara.