Majalah Motosikal Tercanggih Di Malaysia ©
duniamoto@egroups.com

R O Y A L   R U M B L E

  . . .suatu kelainan dari DUNIA MOTO

Bukan senang nak dapat test superbike (SB). Kat negara kita ni, penjual/pengedar motosikal berkuasa tinggi agak kurang berminat untuk memberi seunit dua SB untuk dipandu uji oleh pihak kami. Mungkin mereka kurang yakin dengan kebolehan "test rider" kami, mungkin takut motor tu calar atau terlibat dalam kemalangan dan menyebabkan motosikal tersebut jatuh harga. Mereka takut mendaftarkannya kerana bimbang motosikal tersebut terpaksa dijual dengan harga motosikal terpakai selepas pandu uji berlangsung. Tidak seperti di negara Barat, wartawan motor diberi keutamaan untuk memandu uji motosikal terkini di pasaran. Rosak ke apa ke, itu perkara biasa. Lagi pun mereka percaya bahawa artikel pandu uji itu nanti secara tidak langsung dapat membantu mempromosikan jenama atau model keluaran mereka. Apa nak buat, itu negara orang.

Namun kami tidak ketandusan idea untuk memberikan persembahan terbaik untuk pembaca Dunia Moto. Tanpa sokongan penjual/pengedar motosikal pun, kami berjaya mengadakan sessi ini. Motosikal yang kerap menjadi idaman ramai berjaya kami kumpulkan di sini. Sungguh pun kami agak kecewa kerana R1 tidak berupaya bersama kami dalam sessi ini. Mungkin di lain waktu, R6 khabarnya akan datang menyusul pada 2001.

  Di negara kita, penjual/pengedar motosikal berkuasa tinggi agak kurang berminat untuk memberi seunit dua SB untuk di pandu uji oleh pihak media. Mungkin mereka bimbang...


Selepas membuat janji, kami menempah trek Batu Tiga Shah Alam untuk menjadi pusat melayan korner. Janji pukul 10.00 pagi kat depan pintu masuk trek. Tunggu-punya-tunggu-punya-tunggu, hampir 11.00 pagi baru muncul Muzzel dengan CBR F3nya. Jack pun tiba dengan Blackbirdnya, serta seorang lagi 'brader' pakai BMW K1200. Eii... janji ada 7 biji motor? Jack pun dengan bersungguh-sungguh menceritakan geng-geng yang lain tersangkut di pintu masuk Bukit Kayu Hitam dari Thailand. (Kes pintu masuk ditutup pada pukul 6.00 - geng lain ni tiba pukul 6.30pm) Kecewa pun ada masa tu, tapi memandangkan trek sudah ditempah, kami jalankan juga sessi foto hari itu. Nasib baiklah motor Joko Onn ada, lenjan juga lah untuk sessi foto. Lebih kurang 45 minit sesi berjalan, Sham ZX11 tiba dengan suit racing lengkap, boot Alpinestar dan helmet Arai warna perak metallic. Waahhh.. terkejut kami melihatnya. Bila tanya mana motor, dia kata bawak kereta datang ke trek! Leceh betul...

Setelah hampir 2 jam atas lori dan tawaf trek batu tiga dekat 30 kali, Norrick, Along dan Sham sudah tak boleh tahan melihatkan 4 'rider' tadi lipat selekoh. Ketika sessi rehat seketika, Norrick bawak keluar FXRnya, Along dengan TZMnya dan Sham mengecek motor Joko Onn yang jelas kelihatan mencungap selepas pusing trek 18 kali. Apa lagi, lenjan sepuas-puasnya ler!!! Norrick terlalu seronok melayan sehingga terbabas pada lap ke 3, di selekoh ke 3. Nasib baik tak apa-apa. Along dah tak ingat dunia lagi la bila dapat layan trek!! Sham yang ternyata kurang berpuas hati kerana tak boleh melipat korner semaksima mungkin. Ini disebabkan dapat motor 'street tracker' yang lebih sesuai untuk trek jenis 'dirt' (berpasir atau tanah).

Sessi berakhir lebih kurang pukul 12.30 tengahari disebabkan cuaca yang terlalu panas dan faktor 'rider' semua dah mula sengal-sengal badan akibat kurang 'fit' untuk penunggangan laju atas trek (bagaimana untuk berlumba selama 45 minit?). Sebelum berpisah, kami berjanji untuk berjumpa semula keesokan harinya di Batu Caves untuk ke Ulu Yam. Jack yang sekali lagi beria-ia memastikan geng lain akan tiba esok seperti yang dijanjikan. Cis... esoknya ada siaran 'live' Moto GP pusingan terakhir di Philip Island la pulak... 'miss' ler jawabnya.

Ahad, 29/10/00, kami tiba disimpang ke Ulu Yam tepat pukul 8.30 pagi. Norrick hari ini bertugas sebagai drebar van kerana terpaksa menjemput 'jurufoto import' kami serta dengan krew 'simpanan' DM iaitu Richard Gear. Amy Bearing menunggang motor Norrick kerana tidak mahu terlepas peluang melayan selekoh Ulu Yam. Selepas sepakat pekena teh tarik se'round' sementara menanti yang lain, baru aje duduk nak order, Along sampai dengan TZM kuningnya dengan diikuti dengan Joko Onn yang memandu Citroen. Pelik juga, kenapa Joko tak bawak H-Dnya? Rupanya Joko terlupa kat mana dia letak kunci motornya malam tadi. Nak cepat punya pasal, sambar ajelah kunci kereta. Baru tekak nak basah disirami dengan seteguk teh, tiba-tiba bunyi seperti guruh menggamatkan suasana sekitar tempat kami minum. Maka tibalah gerombolan motor-motor yang biasanya hanya kita lihat dalam majalah antarabangsa atau di internet. Tu dia, HAYABUSA ada, SUPER BLACKBIRD ada, F4 ada, CBR 929 ada, CBR EVOLUTION ada, BMW K1 pun ada.

Selepas berkenal-kenalan, kami pun sambung lagi pekena teh tarik. Setengah jam kemudian, kami memulakan perjalanan ke Ulu Yam. Jalan agak menarik hari itu, tetapi cuaca tidak berapa cantik untuk fotografi. Mendung jer. Dalam perjalanan, ada juga dua tiga biji Superbike memotong van DM sambil mengangkat tangan atau membunyikan hon. Semangat bikers! Ketika pertengahan jalan, selepas melintasi tasik di Ulu Yam, kami mendapati keadaan jalan tidak sesuai untuk fotografi kerana terlalu banyak kereta (mungkin kerana hari Ahad) dan juga jalan agak berpasir. Kami mengambil keputusan untuk terus ke Awana, Genting Highland. Setelah tiba di Awana, kami mengambil foto untuk profil dan juga gambar beramai-ramai untuk kenangan.

Sungguh pun cadangan asal untuk mendapatkan sesi fotografi yang "canggih-manggih" penuh dengan "wheelie, stoppie" dan "burnout!" Apa nak buat, cuaca, keadaan jalanraya dan tempat tidak mengizinkan. Kalau kat trek semalamnya, memang tiada masalah. Geng bikers tadi memohon maaf berkali-kali kerana silap 'budget' masa untuk kembali dari Thailand, dan kami dengan rendah hati "memaafkan" mereka namun kehampaan itu kami saja yang tahu. Geng tadi juga berjanji akan kembali lagi dalam masa sebulan dua ni dengan lain-lain bikers dan kemungkinan juga sebuah R6 untuk dipandu uji. Selepas sessi fotografi, kami terus makan tengahari di sebuah restoran nasi beriani di kawasan Goh Tong Jaya. Nasib kami baik kerana GP 500cc sedang berlangsung pada ketika itu. Seronok sungguh menyaksikan perlumbaan 'live' beramai-ramai. Restoran tu dah jadi macam "rumah" sendiri akibat kekecohan bikers menonton Moto GP. Nampak macam bengang jer pengunjung lain di restoran tu! Pastinya, mereka tidak berupaya buat apa kerana kami ramai dan bising menonton perlumbaan jer... bukannya mengusik orang lain kan.

Selepas tamat perlumbaan di TV, kami bersalam-salaman dan berpisah mengikut haluan masing-masing. Walau sessi ini tidak mengikut perancangan awal kami, namun ianya sedikit sebanyak mempamerkan kelainan daripada persembahan majalah kami yang sebelumnya. Malah, ianya mempamerkan kelainan daripada persembahan majalah yang lain di pasaran sekali pun! Untuk permulaan ini, kami persembahkan perkumpulan motosikal berkapasiti tinggi yang kami gelarkan "ROYAL RUMBLE" dan akan diikuti dengan profil jentera-jentera ini secara bergilir setiap bulan. Oleh itu, jangan ketinggalan mendapatkan Dunia Moto bermula daripada bulan Disember 2000 hinggalah ke bulan April 2001!


© 1998-2000 TIME-Tristan Publishing (M) Sdn. Bhd.    Hakcipta Terpelihara.