Majalah Motosikal Tercanggih Di Malaysia ©      duniamoto@egroups.com

6th PHUKET BIKE WEEK

  Bagaimanakah saya seorang peminat perlumbaan litar menunggang sejauh 2,000 km ?

Perjalanan ke utara dari Petaling Jaya ke Bukit Kayu Hitam memberikan suatu perasaan baru melalui Lebuhraya Utara-Selatan. Saya sebenarnya lebih senang menunggang motosikal jenis sports jalanan dengan membongkok dibelakang fairing sambil memerah pendikit untuk meningkatkan kelajuan, dan ini sudah tentu berlawanan dengan cara menunggang Street Tracker yang dipasang dengan hendal lebar terkangkang itu yang mana lebih sesuai untuk berlumba di atas litar bertanah liat berbentuk bujur yang begitu popular di Amerika itu. Bagaimanapun salah satu sifat Street Tracker ini yang sering berlawanan ialah prestasi dan jarak maksimum perjalanan. Nasib baik lebuhraya tersebut terdapat banyak stesen minyak untuk saya memenuhkan semula tangki petrol berkapasiti 7 liter itu!

Deretan 10 biji Harley yang diketuai oleh Gary telah selamat sampai di Slim River, saya menunggu mereka disini (maaf brother Harley semua kerana membuat anda semua tertunggu-tunggu kedatangan saya di HDM, PJ. Saya tidak dapat menghubungi Kenneth (Pemasaran, HDM) kerana telefon bimbit saya rosak sejak seminggu sebelum itu). Perjalanan ini sebenarnya adalah perjalanan menentukan kekuatan semangat. Street Tracker (Sportster 883) saya sebenarnya tidaklah begitu mengecewakan saya. Ini disebabkan prestasi pecutannya yang baik dengan bunyi garang dari enjin dan ekzos 'Supertrap' itu cukup memberangsangkan. Dan pada masa itu saya sering melangkaui angka 4,000rpm (motosikal saya tidak dilengkapi dengan speedometer) dengan mengekori rapat Gary, seorang penunggang Harley berpengalaman yang sentiasa menunggang sebuah 'shotgun'. Lagipun Ultra Glide Classic yang ditunggangnya memang menarik dan sesuai dengan tugasnya sebagai ketua konvoi.

Perkara #1 - Bagi motor baru, andainya sebuah Harley terlalu kerap mengalami masalah. "Dengar kata saya, apa yang perlu kita lakukan ialah sentiasa penuhkan tangki petrol anda!"- Gary Sharman, Pengurus Pemasaran HDM.

 

Langit membiru mengiringi perjalanan kami sehinggalah sampai ke sempadan. Dan sebaik sahaja kami melepasi sempadan, kami 'kehilangan' Kapten Diamond Robyn yang menunggang sebuah Dyna semasa di Jabatan Imigresen (ini cerita lain pula!) Ini ditambah pula dengan hujan yang turun mencurah-curah seolah-olah sebagai tanda selamat datang ke pesta air Songkran. Gary yang mengetuai konvoi dengan bijak memberi semangat pada setiap peserta tanpa henti untuk meneruskan perjalanan ke Songkla.

Sepanjang perjalanan sentiasa ada perkara yang meriuhkan para peserta. Pernah lihat bagaimana sebuah Street Tracker meredah hujan? Baiklah... yang diriuhkan itu sebenarnya tentang percikan air dari tayar belakang Harley saya ini. Yeah... macam jet ski. Dan jika anda menunggang pada kelajuan yang sekata yang agak tinggi, percikan air tersebut boleh melepasi anda yang sedang asyik memacu dan ia akan turut mengotorkan visor anda! Tak cuba.. kita tak tahu. Jadi dengan sedikit penambahan pada bahagian madgad belakang cukup untuk menyelesaikannya. -Lau, boleh tak kita jual alat tambah ini pada HD Milwaukee? (Lau Sang Wai adalah salah seorang yang terlibat dengan pembangunan satu-satunya Harley racing di Asia Tenggara).

Perkara #2 - Bagi memastikan H-D Sportster 883 saya yang dibina semula dengan ciri-ciri perlumbaan di litar (Screamin' Eagle Performamce parts) boleh digunakan untuk perjalanan jauh. "No problemo... saya jamin boleh!" - Koh Jyh Woei, Ketua Mekanik HDM. (Beliau adalah 'bapa' kepada satu-satunya 'motor lumba H-D di Asia Tenggara!)

 

Songkla adalah sebuah bandar peranginan tepi pantai yang terkenal dengan 'ikan duyong' ala ikan duyong Copenhagen dan turut terkenal dengan makanan lautnya. Kadar sewa rumah tumpangan disini sungguh berpatutan. Dengan bayaran sebanyak 450 Baht semalam membolehkan anda mendapat kemudahan seperti dua katil, dengan penyaman udara serta bilik mandi lengkap dengan kemudahan air panas. Jika tidak mahukan peti sejuk mini, sewa bilik hanya 400 Baht semalam. (Tip: Jika mahu sewa murah minta bilik yang tidak dilengkapi dengan peti sejuk!)

Dari hotel kami boleh mendengar keriuhan yang datang dari sebuah bar yang dipanggil The Off Shore. Bar tersebut dimiliki oleh seorang pemilik Harley bernama Mike Rikard. Bar ini memang sesuai untuk berehat... Minuman sejuk, dendangan music rock dengan layanan mesra.

Perkara #3 - "Baiklah, sekurang-kurangnya 1,000 buah motosikal berhimpun di sana tahun lalu. Deretan Harley berkilat memancar. Customised choppers. Motor klasik yang dibina semula. Superbikes dan Super Unrecognisables. Motor pelik 2 dan 3 tayar. Anugerah 'International Bike'. Anugerah 'Thai Beauty'. Live Rock Bands. Pertandingan Stunning Wet-tees. Minum-minum di Rock Hard. Tahun Baru Songkran. Pistol air di mana-mana...." - Gary Sharman.

 

Keesokkan paginya menjanjikan perjalanan yang agak berbeza dari semalam. Perjalanan 500km melalui jalan kampung memerlukan tunggangan yang lebih berhati-hati ('mempertahankan diri'!). Jika anda tertinggal di belakang (untuk mengisi petrol) dengan yang lain terus berdentum meninggalkan anda... anda cuma perlu terus ikut laluan 'Route 4' (Yeah... terima kasih Gary..). Route 4 yang akan membawa anda ke Trang mempunyai kombinasi jalan-jalan lurus, selekoh-selekoh panjang serta jalan yang bengkang-bengkok. Tidak seperti jalan utama di negara kita, dengan penyambung dan bahu jalan yang sekata, hutan-hutan sekunder diselang-selikan dengan ladang-ladang pertanian. Mike yang menunggang Blackbird pada hari itu bertindak sebagai sweeper merupakan seorang yang bagus kerana sering bersabar untuk menunggu saya setiap kali berhenti untuk mengisi petrol.... dan lama-kelamaan... saya faham beliau sudah mula bosan bilamana beliau dengan sopan 'terbang' meninggalkan saya. Dalam pada itu Zailan dan Jojo dari HDM pula bertindak mengambil-alih sebagai sweeper. Dalam usaha untuk mengejar semula kumpulan dihadapan, kami mengambil kesempatan untuk memecut dan bermain selekoh....

Kami tiba di jambatan Phuket pada jam 5 petang waktu tempatan. Macam biasalah bergambar kenangan dulu kemudian meneruskan perjalanan ke pantai Patong bersama-sama KL Head Hunters ke Paradise Bar untuk berehat serta menjamu selera dengan BBQ....

Pesta Songkran adalah pesta tahun baru bagi negara Thai. Namun hari ini, Songkran bermakna pesta air... kuyuuuuppp...! Cara tradisional... hanya dengan merenjis air tapi tidaklah sampai basah kuyup! Manakan tak kuyup bermacam jenis alat disediakan dari pistol air, 'meriam' air, bazookas dan macam-macam lagilah... tapi seronok!

Pesta 6th Phuket Bike Week ini dianjurkan oleh Perbadanan Pelancongan Thailand dengan acara kemuncak pada 'Malam Songkran'. Ianya adalah perhimpunan bikers terbesar yang turut dihadiri oleh sekurang-kurangnya 6 kelab bikers dari Malaysia. Meriah dengan suasana persahabatan dalam sebuah pesta, saya impikan suatu hari nanti kita juga akan menganjurkan pesta yang serupa...

Memalsukan sebuah Mitos?

Tanpa mempedulikan semua rintangan yang datang, kesemua 11 buah Harley yang sentiasa diselenggara rapi oleh HDM meluncur tenang menuju ke destinasi. Motor Street Tracker saya... tiada sebarang masalah. Sebaliknya terlebih tenaga dari segi prestasi dari apa yang boleh saya kawal disebabkan oleh kecemerlangan komponen-kompenan berprestasi tinggi seperti komponen jenama Screamin' Eagle. Kelajuan maksimum? Maaf saya tak tahu berapa (motor racing mana ada speedometer!) yang saya tahu saya henyak sampai 5,000rpm! Penggunaan bahanapi? Tidak begitu pasti (tiada meter isi tangki.. motor racing maa!). Saya mengisi petrol setiap 30 minit perjalanan. Jadi saya berhenti sebanyak 32 kali dengan kos petrol sebanyak RM197 dari Subang Jaya-Songkla-Phuket-PhangNga-Songkla-Subang Jaya. Dari segi perspektif, hampir kepada 1,000 lap di BTSC! Kesimpulan akan Street Tracker saya (Sportster Racing 883)? Baiklah... saya yakin dengan kemampuannya hinggakan saya yakin untuk meninggalkan Phuket seorang diri, berlegar-legar di PangNga dan memecut ke Songkla. Cayalah HDM... saya rasa saya menyukainya untuk jangkamasa yang lebih lama!

Adakah selamat menunggang di Thailand?

Jawapannya YA dan TIDAK!

Dalam perjalanan saya terserempak dengan sebuah Harley yang sudah remuk di Phuket dan juga sebuah Gold Wing tersadai (kemalangan) di Trang. Di Sadao, saya terpaksa membrek keras untuk mengelakkan sebuah motor tempatan yang tiba-tiba membuat pusingan-U di jalan sehala.

Joko Onn

Jokobaik@hotmail.com