Majalah Motosikal Tercanggih Di Malaysia ©      duniamoto@egroups.com
 MOTOTALK BIL. 15   Edisi Terdahulu   Cover & Poster   Kandungan   Edisi Seterusnya 

Jalan Alternatif?

Bagi pengguna jalan raya di sekitar Lembah Klang lazimnya gembira dengan adanya jalan alternatif seperti Lebuhraya KESAS yang menghubungkan ibukota dan Klang. Dengan adanya lebuhraya tersebut dapat memudahkan lagi pengangkutan ke tempat-tempat tertentu dan secara tidak langsung turut mengurangkan sedikit kesesakan lalu-lintas.

Bercakap mengenai kesesakan lalu-lintas saya selalu membayangkan kesesakan disebabkan oleh manusia-manusia yang hanya tahu memandu sahaja. Bukankah lebih baik jika majoriti rakyat di negara ini menggunakan motosikal dalam hampir semua urusan. Dan saya yakin masalah lalu-lintas tidak lagi menjadi masalah besar. Namun begitu kerajaan tetap cuba untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan membina seberapa banyak jalan alternatif diantaranya Lebuhraya KESAS.

Tidak ada cacatnya lebuhraya tersebut bagi pemandu-pemandu kereta dan sebagainya. Tetapi bagi kita penunggang motosikal adalah tidak keterlaluan menganggap laluan motosikal tersebut lebih sesuai sebagai lorong basikal sahaja. Saya katakan begitu kerana lorongnya sempit dan diselang-selikan dengan terowong-terowong maut yang memaksa kita membrek keras dan masuk ke terowong bagaikan sedang mengambil 'korner baring'! Sudahlah dipenuhi dengan selekoh yang terlalu tajam dan sempit ditambah pula dengan terdapatnya bonggol dalam salah satu terowong yang tidak diketahui tujuan kewujudannya.

Pendek kata jika mahu cepat sedikit pun tidak boleh malah memaksa kita menunggang dengan teramat perlahan dan tidak masuk akal jika mahu selamat pergi dan balik. Bagi penunggang-penunggang superbike pula lebih menyeksakan disebabkan oleh kesempitan lorongnya. Perjalanan yang sepatutnya seronok dan cepat menjadi perjalanan yang penuh dengan rasa cemas dan lambat. Saya fikir orang yang mereka bentuk laluan tersebut sudah tentu bukan seorang penunggang motosikal. Malah mungkin mereka adalah orang-orang yang tidak tahu-menahu tentang cara-cara menunggang motosikal.

Mungkin juga mereka cuma membinanya hanya sekadar untuk 'memisahkan' penunggang motosikal dengan pemandu kenderaan yang lebih besar tanpa mengambil kira kadar keselamatan dan kelancaran perjalanan lorong tersebut. Adalah lebih baik jika orang-orang seperti ini merasa menunggang motosikal dan melalui laluan yang mereka bina. Dengan cara inilah saya rasa mereka akan tahu betapa tidak munasabahnya hasil kerja mereka!

Adakah anda setuju ???

© 1998 TIME-Tristan Publishing (M) Sdn. Bhd. All rights reserved.