Majalah Motosikal Tercanggih Di Malaysia ©      duniamoto@egroups.com
 MOTOTALK BIL. 16   Edisi Terdahulu   Cover & Poster   Kandungan   Edisi Seterusnya 

Sikap "Tidak Apa" ?

Dewasa ini kejadian kemalangan yang membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal semakin meningkat. Ini terbukti dalam statistik yang dikeluarkan oleh pihak Polis. Statistik yang di keluarkan jelas menunjukkan gejala ini sememangnya ancaman yang besar pada negara. Manakan tidak jika kebanyakkan anak-anak muda yang bakal mencorakkan ekonomi dan politik negara akan datang , habis di’mamah’ oleh gejala sebegini. Dalam statistik 6 bulan pertama di Selangor sahaja memperlihatkan hampir 300 orang terkorban dalam 487 kemalangan jalanraya yang turut melibatkan 34 pembonceng terkorban. Bukankah angka tersebut menggerunkan? Oleh itu cubalah hindarkan diri anda dari termasuk dalam statistik tersebut.

Pihak berkuasa seperti Polis hingga kini masih berusaha untuk mengawal kadar kemalangan yang tinggi ini. Oleh itu Polis telah melakukan seberapa banyak operasi pemeriksaan terhadap penunggang motosikal contohnya 'Ops Motosikal' telah memaksa Polis mengeluarkan 1,241 saman diatas berbagai bentuk kesalahan. Lebih 20 peratus daripanya adalah saman berkaitan menunggang TANPA LESEN !!!

Adakah kita suka disaman, ditegur mahupun dimaki disebabkan oleh kesilapan kita sendiri? Bukankah ianya boleh memburukkan lagi imej penunggang motosikal yang kian tercemar oleh manusia-manusia yang tidak bertanggungjawab ini! Sudahlah ... cukuplah ... dengan yang sudah-sudah hinggakan ada yang menganggap kita sebagai 'BUDAK NAKAL' yang tidak tahu untuk menilai mana yang baik dan mana yang buruk untuk diri sendiri! Adakah dengan mencabar undang-undang itu sesuatu yang boleh dibanggakan? Cukuplah ... saya pernah mendengar rungutan 'orang asing' yang mengatakan kita suka 'mati katak' ditengah jalan! Sukakah anda dengan cemuhan sebegitu? Jika benar anda seorang yang hebat mengapa tidak menyertai perlumbaan yang sah dengan cara yang betul! Kini dan dimasa akan datang DR sendiri cuba untuk menganjurkan lebih banyak perlumbaan yang sah sepertimana DR BCT Merdeka Race yang dianggap sebagai GP Dunia Roda pertama!

Setelah dikaji dari beberapa aspek, kami dapati kebanyakan penunggang sering mengambil sikap 'TIDAK APA'. Tidakkah kita sedar akan betapa dengan sikap sedemikian boleh mengakibatkan kecederaan yang lebih teruk malah mungkin boleh kehilangan nyawa! Menunggang motosikal sememangnya mempunyai risiko yang tinggi hinggakan dengan sedikit kesilapan pasti akan mendatangkan kecelakaan. Ada berbagai contoh, seperti tidak memakai pakaian yang sesuai untuk menunggang dan menggunakan alat ganti motosikal yang murah. Bagi contoh pertama memungkinkan kecederaan yang teruk walau pun hanya terjatuh perlahan sedangkan jika anda memakai pakaian yang sepatutnya ia mungkin dapat mengurangkan tahap kecederaan!

Begitu juga halnya dengan contoh kedua, ramai diantara kita kurang prihatin akan betapa pentingnya menggunakan alat ganti seperti pad brek yang berkualiti tinggi. Bayangkan jika anda sepatutnya boleh membrek dan mengelak daripada terjadinya kemalangan tetapi tidak dapat berbuat demikian lantaran penggunaan pad brek murah atau tiruan. ‘Berbaloi’kah jika anda bandingkan harga nyawa anda dengan dua keping pad brek! Oleh itu marilah wahai para pembaca yang amat dikasihi agar kita sama ingat-mengingati sesama kita untuk lebih prihatin akan keselamatan mahupun memberi lebih penekanan akan betapa pentingnya untuk mematuhi undang-undang agar dapat memulihkan imej kita yang telah tercemar!

Fikirkan ...

© 1998 TIME-Tristan Publishing (M) Sdn. Bhd. All rights reserved.