Majalah Motosikal Tercanggih Di Malaysia ©      duniamoto@egroups.com
 MOTOTALK BIL. 11   Edisi Terdahulu   Cover & Poster   Kandungan   Edisi Seterusnya 

‘Malaysia Boleh!’

SYABAS dan setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada MAB (Malaysia Airport Berhad) dan SIC (Sepang International Cicuit) kerana telah pun berjaya membuktikan semangat ‘Malaysia Boleh!’ dalam menjayakan penganjuran Kejuaraan FIM Grand Prix Dunia walau pun seperti yang kita semua sedia maklum, ini bukanlah kali pertama negara kita Malaysia menganjurkan kejohanan sedemikian sejak tahun 1991.

Seperti saudara-saudari pembaca sekalian sedia maklum kini kita mempunyai satu lagi litar lumba bertaraf dunia sehingga layak dan mampu untuk menganjurkan Kejuaraan Formula 1 Dunia. Sesungguhnya kita harus berbangga dengan kewujudannya. Litar ini yang telah dirasmikan oleh Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed beberapa bulan lalu telah menelan belanja RM286 juta dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan canggih baik untuk kegunaan pihak pengurusan dan pengunjung mahu pun untuk kegunaan pasukan-pasukan yang terlibat dalam kejohanan yang dianjurkan dan yang tidak kurang pentingnya ialah kemudahan yang disediakan untuk kegunaan wakil-wakil media antarabangsa dan juga media tempatan.

Semasa berlangsungnya Kejuaraan FIM Grand Prix Malaysia baru-baru ini berbagai-bagai pujian telah dilemparkan kepada pihak pengurusan dan pentadbiran terutama yang berkaitan dengan kemudahan-kemudahan yang disediakan seperti kecanggihan pusat media, keselesaan ruang untuk VIP, keluasan kawasan dan kemudahan yang disediakan di paddock dan keselesaan pengunjung di bahagian tempat duduk utama. Tetapi pada masa yang sama juga terdengar berbagai rungutan yang tidak sepatutnya berlaku dan kurang enak didengar apatah lagi jika ianya datang dari mulut pengunjung asing.

Malah terdapat juga banyak rungutan dari sesetengah pihak media khususnya media tempatan di mana kebanyakkannya berkenaan dengan masalah untuk mendapatkan pas media. Haruskah sikap pilih kasih dan double standard diadaptasikan oleh beberapa pegawai berkenaan yang boleh memberikan kesan yang tidak menguntungkan pihak pengurusan! Adakah mereka tidak tahu bahawa media tempatan boleh memainkan peranan terbaik bagi menarik minat penonton untuk datang ke litar!

Kesimpulannya segala rungutan itu memang boleh dielakkan dengan syarat pihak-pihak berkenaan boleh bersikap lebih positif, sedia bertolak-ansur dan bekerja secara lebih profesional bagi menjamin mutu perkhidmatan yang terbaik.

Perbaikilah.

© 1998 TIME-Tristan Publishing (M) Sdn. Bhd. All rights reserved.