Majalah Motosikal Tercanggih Di Malaysia ©      duniamoto@egroups.com
 MOTOTALK BIL. 13   Edisi Terdahulu   Cover & Poster   Kandungan   Edisi Seterusnya 

Sambutan Yang Menggalakkan

Mana-mana penerbitan sudah pasti mengharapkan sambutan yang menggalakkan terutama daripada pembaca sendiri selain daripada sokongan padu yang diberikan oleh mana-mana syarikat besar. Kami di DR sering mengutamakan kepuasan pembaca di segi kualiti keseluruhan majalah terutamanya di segi ketepatan maklumat dan sebagainya. Maka apabila sesuatu majalah itu mempunyai kualiti yang tinggi sudah pasti mampu menarik minat lebih ramai pembaca.

Tetapi kami amat berdukacita apabila mendapat tahu ada sesetengah pekedai telah menjual majalah DR pada harga yang tinggi. Oleh itu jika ada sesiapa yang mengetahui mana-mana kedai yang melakukannya sila ajukan aduan anda kepada kami melalui surat atau email dan pastikan anda sertakan alamat lengkap kedai tersebut agar boleh kami ambil tindakan yang sewajarnya.

Kini kredibiliti DR telah mula mendapat perhatian pengeluar-pengeluar motosikal dan juga syarikat-syarikat kecil dan besar. Ini terbukti apabila syarikat-syarikat tersebut telah berminat untuk memberikan sokongan dan kerjasama yang baik untuk menjayakan Karnival Dunia Roda-Harley-Davidson yang telah diadakan di Sunshine Square, Pulau Pinang. Hakikatnya terdapat banyak lagi syarikat-syarikat kecil dan besar yang berminat untuk menyertai karnival tersebut tetapi kami terpaksa menyekat sebahagiannya ekoran penyertaan yang melebihi jangkaan! Besar kemungkinan kami akan menyerapkan selebihnya untuk karnival-karnival Dunia Roda yang akan datang.

Hakikatnya kami bertekad untuk bekerja lebih keras demi menjamin kualiti majalah agar terus canggih lantas meningkatkan lagi kualitinya! Hasilnya, kami mendapati ruangan teknikal seperti Ruangan Teknikal Bulan Ini, Tips Penunggang dan Ruangan Upgrade mula mendapat sambutan diluar jangkaan sehingga saya selaku Editor Teknikal dan krew DR tidak menang tangan untuk menangani segala pertanyaan yang diajukan tidak kira sama ada melalui e-mail, surat mahupun melalui panggilan telefon!

Perkembangan sebegini adalah baik untuk kami terutama dalam usaha untuk mendapatkan tindak balas pembaca. Oleh kerana itu juga kami di DR ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih diatas sokongan pembaca-pembaca sekalian agar DR tetap gah dalam menghadapi cabaran yang mendatang! Akhir kata dari saya utamakan keselamatan anda walau dimana jua anda berada.

Menunggang biar cermat.

© 1998 TIME-Tristan Publishing (M) Sdn. Bhd. All rights reserved.