Majalah Motosikal Tercanggih Di Malaysia ©      duniamoto@egroups.com
 MOTOTALK BIL. 7   Edisi Terdahulu   Cover & Poster   Kandungan   Edisi Seterusnya 

SELAMAT HARI RAYA

BILA sebut tentang hari raya, dah tentulah terbayang depan mata kampung halaman, ayah ibu, adik, abang, kakak, atuk, nenek, pakcik, makcik dan ramai lagi. Tu tak termasuk anak-anak buah yang macam satu batalion askar ditambah pula dengan anak cucu, kalau ada ... (macam kawan baik saya, dah bercucu). Bercakap tentang raya juga, yang paling cepat terbayang tambah-tambah di bulan puasa ni ialah hidangan menyelerakan yang tersaji di pagi raya. Lepas je balik dari bersembahyang raya, apa lagi ... pekenalah apa yang patut. Ketupat dan rendang, lontong nasi himpit, roti jala dengan kari ayam ... mak oi ... menyelerakan. Ye tak? Tapi kan ... bang, kita ni masih lagi berpuasa. Tak baik kan ingat makanan yang sedap-sedap, nanti batal pulak puasa tu. Sori ... ye bang, tak sengaja.

Menyambut raya ni janganlah kita bersakan-sakan pula. Zaman-zaman gawat ni kita kena juga beringat, jangan berbelanja berlebihan. Biarlah sederhana. Duit-duit raya tu ... kalau tak mampu bagi banyak, bagilah sekadar termampu. Seposen ke ... dua posen ... ke. Yang penting ikhlas. Usahlah menunjuk-nunjuk, nanti kita jugak yang tersadai. Tak cukup tambang balik K.L. Baju Melayu tu pulak, kalau ada yang boleh dipakai ... pakailah dulu. Buat apa nak buat baru kalau yang tahun lalu pun masih tergantung cantik dalam almari (kalau tak dibawa sembahyang Jumaat). Bagi kak long-kak long pula, usahlah buat sampai empat lima pasang. Kalau rasa boleh tahan nafsu, sepasang pun jadilah. Sudah memadai. Memanglah raya tu sebulan, tapi takkan lah baju pun nak sebulan. Jangan membazir ...

Membebel pulak. Sebenarnya apa yang nak saya pesan melalui ruangan ini bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidil Fitri tidak lama lagi ialah tentang aspek keselamatan. Berhati-hati di jalan raya ... amalan hidup kita. Dan, yang paling utama sekali ialah Tunggang Dengan Cermat, Ingatlah Orang Yang Tersayang. Banyak sudah kita mendengar dan membaca ataupun menyaksikan sendiri kemalangan jalanraya yang telah meragut berpuluh nyawa menjelang hari lebaran. Keselamatan mengatasi segalanya. Buat apalah kita hendak memandu laju-laju kerana tujuan kita yang sebenarnya ialah balik kampung bertemu dengan ibu ayah, saudara-mara ... sudah tentulah kita tidak mahu menutup mata tanpa bertemu mereka. Yang penting, biarlah lambat sampai tetapi asalkan selamat. Setuju dengan saya?

Bagi abang-abang yang menunggang motosikal balik kampung, tidak kiralah ke utara ke, ke selatan ke, ke timur ke ... yang penting sekali ialah keselamatan. Pastikan motosikal diperiksa terlebih dahulu sebelum bertolak. Jangan bawa muatan berlebihan. Dan jika boleh berkonvoi beramai-ramai secara selamat. Jika ada yang memecut, sudah pastilah ada yang melarang. Jadi, sedikit sebanyak bolehlah kita menghindar sesuatu yang tidak diingini dari berlaku. Dan, bagi mereka yang berkereta, usahlah memecut di lebuh raya. Walaupun had laju kelajuan 110km/j, tetapi tidak semestinya kita harus memandu selaju itu atau pun lebih. Keselamatan anak isteri yang bersama serta penantian ibu ayah di kampung hendaklah sentiasa diingat.

Itu sahajalah pesanan yang boleh diberikan kerana DUNIA RoDA merasakan turut bertanggungjawab untuk menyedarkan pembaca kerana sebagai sebuah majalah motosikal yang prihatin, inilah sahaja yang mampu kami berikan. Mengambil kesempatan ini juga, saya dan seluruh krew DUNIA RoDA mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidil Fitri kepada semua pembaca yang beragama Islam, maaf di atas segala kesilapan yang telah dilakukan kerana yang baik itu datangnya dari Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya dari kami.

Selamat Hari Raya ...
(duit raya tak de ke?)

© 1998 TIME-Tristan Publishing (M) Sdn. Bhd. All rights reserved.