Make your own free website on Tripod.com
 
     Majalah Motosikal Tercanggih Di Malaysia      duniamoto@egroups.com
 MOTOTALK BIL. 19   Edisi Terdahulu   Cover & Poster   Kandungan   Edisi Seterusnya 

UTAMAKANLAH KESELAMATAN

Edisi bulan ini adalah edisi ke-19 DUNIA RoDA serta edisi pertama DR bagi Alaf Baru! Dan di masa keghairahan semua orang menyambut kedatangan alaf baru, kaum muslimin dan muslimat pula turut asyik dalam menunaikan ibadah puasa dan Ramadhan seterusnya menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Sehubungan itu maka ramailah warga kota dari seluruh negara berasak-asak pulang ke kampung halaman masing-masing bagi merayakan hari raya bersama keluarga.

Oleh itu kami daripada DR ingin mengambil kesempatan ini untuk menyentuh serba sedikit berkenaan keselamatan khususnya semasa balik kampung. Harus diingatkan bahawa 60% kadar kemalangan yang melibatkan kecederaan dan kematian setiap tahun terdiri dari penunggang dan pembonceng motosikal. Mengapa terjadi sedemikian? Dalam kes menunjukkan bahawa ianya seringkali berpunca dari kecuaian dan kelalaian penunggang sendiri. Selebihnya barulah disebabkan oleh pihak lain. Kecuaian bukan sahaja berkisar dari segi penunggangan tetapi turut membabitkan penyenggaraan motosikal dan pemakaian alatan keselamatan yang sesuai. Dalam edisi DR kali ini, kami turut menyiarkan secara ringkas 15 bahagian yang patut diperiksa sebelum memulakan perjalanan yang dibawakan khas oleh Hong Leong Yamaha. Manakala tentang keselamatan diri pula, adalah amat penting untuk kita lebih prihatin tentang kesihatan diri kerana keadaan terlalu letih boleh menjejaskan tahap keselamatan semasa menunggang.

Selain itu buat pengetahuan semua, nama majalah DUNIA RoDA akan bertukar kepada DUNIA MoTO bagi mengelakkan sebarang kekeliruan yang mungkin dan telah timbul ekoran daripada nama asal DR. Namun begitu kami hanya akan menukar nama sepenuhnya selepas tiga bulan dengan tujuan untuk membolehkan semua pembaca agar benar-benar peka dengan perubahan ini.

Lantaran hadirnya tahun dan alaf baru ini, tidak kurang juga mereka yang menanam azam baru seperti bekerja dengan lebih gigih, berubah perangai dan sebagainya. Oleh itu, tidak salah jika kita tanamkan azam baru untuk mendisiplinkan diri kita semasa di jalanraya. Di samping itu, keselamatan adalah perkara paling penting yang mesti diberi perhatian utama. Bukan hanya merangkumi cara pemakaian semasa menunggang sahaja, tetapi merangkumi perlakuan dan sikap ketika menunggang. Dengan mengutamakan keselamatan, secara tidak langsung akan melatih kita agar berdisiplin dalam banyak hal. Adalah amat dikesali apabila sikap buruk dari segelintir penunggang telah merosakkan imej penunggang-penunggang motosikal keseluruhannya. Bagi mereka yang sentiasa berhati-hati, bersopan dan dan berhemah semasa menunggang , teruskanlah. Bukan untuk sesiapa ... untuk diri kita sendiri.

Manakala bagi mereka yang masih dengan sikap negatif dan angkuh, fikirkanlah sendiri cara terbaik untuk mendisiplinkan diri di jalanraya kerana kesedaran itu harus datang dari dalam diri kita dan bukan dipaksa-paksa. Oleh itu, kami di DUNIA RoDA menyeru agar orang seperti ini menanam keazaman yang tinggi kearah membentuk sikap yang positif dalam apa jua keadaan. Bukan apa ... duit boleh dicari, nyawa tiada gantinya! Ayuh buktikan bahawa anda mampu melakukannya... Serentak dengan itu kami mengucapkan Selamat Tahun Baru dan Selamat Hari Raya buat semua pembaca DR yang dikasihi.

Wassalam ...

1998 TIME-Tristan Publishing (M) Sdn. Bhd. All rights reserved.