Majalah Motosikal Tercanggih Di Malaysia ©      duniamoto@egroups.com
 MOTOTALK BIL. 20   Edisi Terdahulu   Cover & Poster   Kandungan   Edisi Seterusnya 

SESAL DAHULU PENDAPATAN

SESAL KEMUDIAN TIADA GUNANYA !

ADALAH menjadi kelaziman bagi kita melihat pihak-pihak tertentu memberikan lebih perhatian tentang keselamatan semasa di jalanraya terutama apabila tiba musim perayaan. Dan pihak Polis pula terus gigih memperhebatkan strategi mereka dengan memantau lalu lintas menerusi Ops Statik di seluruh negara . Tidak cukup dengan itu , kini semakin banyak syarikat swasta turut tampil bersama-sama dalam usaha untuk menyedarkan masyarakat akan betapa pentingnya mengutamakan keselamatan .

Namun saban tahun senario seperti berlakunya kemalangan maut yang melibatkan generasi muda kian mencemaskan banyak pihak hinggakan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sendiri turut tampil merayu kepada masyarakat agar lebih berhati-hati dan lebih berdisiplin semasa berada di jalanraya. Mungkin ramai yang masih tidak sedar bahawa 68% daripada 5,000 mangsa kemalangan maut dalam masa setahun terdiri daripada lingkungan umur 16 hingga 25 tahun. Rata-rata daripada mereka ini terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah dan juga pelajar di institusi pengajian tinggi serta pekerja-pekerja mahir dalam sektor industri. Adalah tidak menghairankan berkenaan angka-angka statistik yang diperolehi membabitkan pengguna motosikal dalam jumlah yang tinggi kerana setiap hari boleh dikatakan daripada 22 mangsa kemalangan maut , 14 daripadanya adalah penunggang dan pembonceng motosikal!

Kemalangan tidak hanya berpunca dari penunggang motosikal tetapi seringkali juga berpunca dari pemandu kenderaan yang lebih besar. Kita semua memang tahu betapa mudahnya motosikal terbabit dalam kemalangan dan mendapat kecederaan teruk. Oleh itu , mengutamakan sikap berhemah di jalanraya , berdisiplin , berhati-hati dan sebagainya bukan sahaja ditujukan pada penunggang motosikal tetapi juga kepada semua pengguna jalanraya! Di samping itu , sikap sesetengah pengguna jalanraya bahawa kemalangan tidak akan berlaku pada diri mereka adalah suatu pendirian yang dianggap merugikan diri sendiri lantaran sikap mereka yang kurang bersedia menghadpi sebarang kemungkinan dan memburukkan lagi akibatnya. Di antara sikap kurang bersedia yang dimaksudkan termasuklah ketidakprihatinan mereka dalam mengenakan pakaian keselamatan menunggang yang baik khususnya bagi pengguna motosikal.

Selain itu kemalangan juga boleh berpunca dari faktor alam sekitar seperti hujan lebat, tanah runtuh, angin lintang, dan sebagainya. Namun semuanya berbalik kepada pengguna sendiri di mana dengan cara menumpukan sepenuh perhatian, berhati-hati dan sentiasa bersedia pasti akan banyak membatu dalam mengelakkan diri dari terbabit dalam kemalangan atau sekurang-kurangnya mengurangkan risiko kecederaan parah!

Selepas musim perayaan Hari Raya berlalu pergi maka muncul pula musim perayaan Tahun Baru Cina ... kami di DUNIA RoDA amat berharap agar kita semua bersama-sama melakukan sesuatu bagi mengurangkan jumlah kemalangan lantas menyahut seruan kerajaan. Oleh itu ikesempatan ini kami mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua pembaca dari kalangan kaum Cina serta ucapan selamat jalan dan utamakan buat semua pembaca dalam apa jua keadaan.

Bak kata pepatah,"sesal dahulu pendapatan ... sesal kemudian tiada gunanya!"

© 1998 TIME-Tristan Publishing (M) Sdn. Bhd. All rights reserved.