Majalah Motosikal Tercanggih Di Malaysia ©      duniamoto@egroups.com
 MOTOTALK BIL. 28   Edisi Terdahulu   Cover & Poster   Kandungan   Edisi Seterusnya 

FIESTA OKTOBER

SELAMAT DATANG KE MALAYSIA

Bulan Oktober ini menandakan sebuah lagi acara yang menjemput dunia datang ke Malaysia secara beramai-ramai. Bulan Oktober juga menyaksikan kemunculan pelumba-pelumba elit Formula Satu, pasukan-pasukan lumba yang mampu menabur jutaan ringgit semata-mata untuk kemenangan, penaja-penaja gergasi yang juga tidak lokek akan jumlah perbelanjaan yang bakal dikeluarkan ke negara kita yang dahulunya sebuah negara berlandaskan pertanian. Siapa sangka, anak Malaysia bakal menjadi hos kepada perlumbaan paling berprestij dunia.

Walau pun Dunia Moto adalah sebuah majalah motosikal yang berdedikasi, namun kami tidak dapat mengelak tanggungjawab sosial untuk turut bersama-sama menjayakan acara terbesar pelumbaan peringkat dunia yang bakal berlangsung pada 22hb Oktober 2000 ini. Perlumbaan ini adalah salah satu acara kebanggaan negara, maka bersama-samalah kita pastikan ianya berjaya.

Bulan Oktober memastikan satu lagi "road show" daripada Dunlop Malaysia Industries Berhad (DMIB) yang akan diadakan di Jaya Jusco, Ipoh. Kempen Keselamatan Jalanraya Motosikal "Dunlop TT100 The Original" bakal berlangsung pada 7 & 8hb Oktober 2000. Bagi mereka yang ingin mendapatkan peluang bersama-sama Pasukan Lumba Petronas Sprinta TVK di Sepanyol, pastikan anda bersama-sama kami dan DMIB, di Ipoh. Dapatkan pelekat reflektif anda untuk melayakkan diri merebut hadiah-hadiah lumayan ini.

Keluaran Oktober ini menyaksikan muka hadapan menyiarkan dua jenis jentera yang kami pandu uji secara serentak. Uji pandu sebegini belum pernah dijalankan oleh mana-mana penerbit majalah di negara kita. Sekali lagi, DM membuktikan kami adalah majalah tercanggih di Malaysia. Uji pandu sebegini akan kami jalankan dari masa ke semasa khas buat pembaca tersayang. Kami mahukan anda mendapat informasi secukupnya sebelum anda keluarkan wang simpanan anda untuk membeli sebarang motosikal di pasaran. Perbandingan dan ujian yang dibuat adalah berdasarkan pengamatan pemandu uji kami yang mempunyai pengalaman, kelayakan dan tidak berat sebelah ke atas mana-mana jenama yang diketengahkan.

Kalau bahan uji itu baik, sudah tentu kami katakan baik! Kalau tidak,...

...takkan kami nak menipu pula...kan?

© 1998-2000 TIME-Tristan Publishing (M) Sdn. Bhd.   Hakcipta Terpelihara.