Majalah Motosikal Tercanggih Di Malaysia ©      duniamoto@egroups.com
 MOTOTALK BIL. 29   Edisi Terdahulu   Cover & Poster   Kandungan   Edisi Seterusnya 

NAIK LAGI...

Semua jenis kenderaan dewasa ini masih menggunakan bahanapi berasaskan petroleum. Ini adalah kerana pencapaian teknologi pembuatan kenderaan berkuasa elektrik dan solar belum lagi mampu ke tahap efisien dalam beberapa faktor seperti prestasi enjin (motor elektrik) yang tidak seimbang dengan nisbah berat serta masalah pengeluaran secara komersil. Oleh itu tidak dapat tidak, kita terpaksa terus bergantung pada sumber bahanapi petroleum yang kini semakin meningkat harganya di seluruh dunia.

Kita yang hidup aman di Malaysia bumi bertuah ini masih lagi mampu bertahan lantaran harga bahanapi terutamanya petrol tidak meningkat terlalu mendadak (peningkatan hanya 10 sen seliter). Lain pula halnya dengan kebanyakan negara-negara lain yang terpaksa menanggung kenaikan harga bahanapi yang terlalu tinggi lantas membebankan para pengguna. Sebab itulah kita selaku rakyat Malaysia harus bersyukur dengan kadar kenaikan harga bahanapi yang rendah.

Namun begitu adalah disarankan agar kita jangan ambil mudah pula dengan kenaikan harga bahanapi. Maksud saya, kita selaku pengguna utama (khususnya penunggang motosikal) perlulah mencari jalan agar kadar penggunaan petrol bagi motosikal kita adalah ditahap optimum. Ini dapat dilakukan dengan memastikan keseluruhan sistem enjin berada dalam keadaan terbaik tanpa sebarang kecacatan. Dalam kata lainnya pastikan sistem pengkarburetoran, penapisan udara, bahagian dalaman enjin seperti piston dan injap-injap, palam pencucuh, semua gasket dan penyambung serta ekzos berada dalam keadaan terbaik. Disamping itu pastikan juga bahagian-bahagian lain seperti semua bearing dan rantai pemacu berada dalam keadaan terbaik (diminyak dan bergris) kerana ia turut mempengaruhi kadar kehilangan hantaran kuasa sebelum sampai ke tayar belakang. Selain itu pastikan sistem brek berfungsi dengan baik (tidak melekat).

Kesimpulannya motosikal yang diselenggara dengan baik serta mampu menghasilkan prestasi keseluruhan terbaik mampu mengurangkan sedikit sebanyak beban penggunaan bahanapi. Bagi mereka yang lebih bijak sudah tentu mencari alternatif terbaik seperti memasang alat pemecah molekul bahanapi yang ternyata mampu menyumbang kepada penjimatan penggunaan bahanapi. Saya harap segala apa yang saya coretkan disini dapat membuka minda sesama kita dalam menghadapi kenaikan harga bahanapi agar ianya...

... tidak membebankan kita.

© 1998-2000 TIME-Tristan Publishing (M) Sdn. Bhd.   Hakcipta Terpelihara.