Majalah Motosikal Tercanggih Di Malaysia © duniamoto@egroups.com
MOTOTALK BIL. 35 Edisi Terdahulu Cover & Poster Kandungan Edisi Seterusnya

KL menJERIT DUNIA MOTO!!!

Keadaan ekonomi yang tidak menentu masa kini telah memberikan tamparan hebat kepada pelbagai bidang perniagaan dan tidak terkecuali juga bidang penerbitan. Dengan kenaikan kos pembuatan, penangguhan pembayaran oleh penghutang, ditambah lagi dengan kekurangan pengiklan menyebabkan hampir kesemua syarikat penerbitan kecil menghitung masa depan yang semakin suram.

Bertitik-tolak dari itu juga, kami terpaksa mengambil langkah sementara bagi mengurangkan kos supaya DUNIA MOTO (DM) dapat terus bertahan. Tindakan terbaik adalah dengan menerbitkan majalah ini kepada dwi bulanan (dua bulan sekali) bermula dari edisi Mei/Jun 2001. Kami ingin meminta maaf kepada para penyokong dan pembaca setia DM untuk perubahan ini namun inilah sahaja sebaik-baik jalan penyelesaian buat masa ini. Kami amat berharap agar keadaan ekonomi negara akan segera pulih, dengan itu majalah DM dapat diterbitkan semula sebagai majalah bulanan.

Kami tetap bersyukur kerana masih ada sinar di sebalik kesuraman ini, biar pun Norrick dan Amy Bearing terpaksa meninggalkan DM namun mereka telah menceburkan diri dalam bidang kerjaya yang baru. Walau bagaimana pun, mereka akan terus menyumbang dan membantu projek DM secara langsung atau tidak secara langsung dari semasa ke semasa. Kami di DM mendoakan kejayaan mereka didalam apa jua bidang kerjaya yang diceburi.

Sementara itu, webmaster DM yang tidak asing lagi bagi pelayar www.duniamoto.com iaitu Sifu ShamZX11 kini melibatkan diri secara langsung dalam kerja-kerja pembikinan majalah sebagai Penasihat Editorial. Sama-samalah kita mengucapkan selamat datang kepada beliau sama ada melalui surat atau pun email. Kami berharap kehadiran beliau akan membawa pembaharuan dan kelainan dari segi persembahan majalah ini kelak.

Sebagai majalah motosikal tempatan yang diiktiraf, DM amat berasa bangga kerana telah diberi kepercayaan menjadi pengaturcara perlumbaan untuk siri penggambaran filem "KL menJERIT". Filem ini mengisahkan Shahrol yang begitu ghairah membina penghidupan dan kejayaan di Kota Kuala Lumpur akhirnya berusaha dengan gigih untuk menjuarai "BTSC – DUNIA MOTOGP CHAMPIONSHIP 2001" yang mana Shahrol dulunya adalah seorang pelumba haram.

"KL menJERIT" diterbitkan oleh Tayangan Unggul Sdn. Bhd. (anak syarikat MEASAT). Skrip ditulis oleh Badaruddin Hj. Azmi (Badar) dan watak utama terdiri dari Rosyam Nor (Shahrol), Nisdawati Nazaruddin (Ayu), Faizal Hussein (Pit), Hasnut Rahman (Tun), Liza Hanim (Linda), Danny X-Factor (Mamat), Saiful Apek Senario (Saiful) manakala pelakon undangan khas adalah Dato' Rahim Razali.

Anda dijemput hadir beramai-ramai ke lokasi penggambaran pada 22hb. dan 24hb. Jun 2001 bertempat di Litar Speedway Batu Tiga (BTSC). Jangan lupa! Bawalah rakan-rakan anda untuk bersama-sama menyaksikan penggambaran filem paling hangat tahun ini. Anda juga berpeluang memenangi hadiah-hadiah yang disediakan. Apa lagi yang anda dapat? Pastinya anda berpuashati kerana dapat menyaksikan kehebatan pusingan ke-6 BCT 2001 ini.

Jumpa di sana !!!

Joko Onn


© 1998-2000 TIME-Tristan Publishing (M) Sdn. Bhd.   Hakcipta Terpelihara.