Majalah Motosikal Tercanggih Di Malaysia ©      duniamoto@egroups.com
 MOTOTALK BIL. 31   Edisi Terdahulu   Cover & Poster   Kandungan   Edisi Seterusnya 

Tahun Ke 3
Menerokai Alaf Baru

Sedang saya duduk di anjung rumah suatu lewat malam, sambil menghirup minuman panas, saya mengamati jentera Honey-Darling ( Harley Davidson ) kesayangan. Bermandikan cahaya bulan Ramadhan, saya mengingati kembali pengalaman saya dengan Honey-Darling tersebut. Saya memperolehi banyak pengalaman suka duka dengannya. Nampaknya, pengalaman ini akan terus berterusan selagi minat menunggangnya masih menebal... seperti jentera Honey-Darling itu, Dunia Moto juga membangkitkan perasaan yang serupa.

Dunia Moto (dulu dikenali sebagai Dunia Roda) diasaskan oleh "bikers" yang berpandukan rasa cinta pada motosikal dan dipacu oleh minat yang mendalam apabila merasai angin yang menerjah ke muka dalam pengembaraan mereka. Dunia Moto melangkah kehadapan, bukan sahaja mengenengahkan informasi yang menarik, bersesuaian dengan standard kewartawanan yang tinggi, tidak berat sebelah, melaporkan kebenaran, malah turut mengkotakan kata iaitu mengurangkan kecelakaan kemalangan motosikal.

Melalui penekanan terhadap misi ini, Dunia Moto kekal sebagai satu-satunya majalah motosikal di Malaysia yang turun padang di dalam kempen-kempen keselamatan jalanraya yang melibatkan motosikal. Sejak kelahirannya pada Julai 1998, Dunia Moto telah menjadi hos kepada 8 karnival kempen keselamatan jalanraya untuk motosikal dan berjaya menemui 150,000 'bikers', besar atau kecil di seluruh tanahair. Kami berharap untuk melakukannya dengan lebih hebat pada tahun 2001 ini.

Dunia Moto, seperti alaf baru, akan menghadapi cabaran baru. Akan timbul tekanan untuk melakukan sesuatu yang lebih baru, lebih baik dan lebih banyak aktiviti untuk penunggang motosikal sekelian. Walau pun baru berusia 3 tahun, kami telah pun mempunyai standard dan ukuran pemangkin. Dunia Moto akan terus menerokai perkara yang belum pernah diterokai oleh mana-mana majalah di Malaysia. Juga mempunyai satu-satunya laman web yang berdedikasi di Malaysia, meneruskan usaha menaiktaraf dan memperbaiki www.duniamoto.com. Tidak lama lagi, anda hanya 3 klik interaktif lebih jauh dari kami untuk pengalaman penunggangan yang menakjubkan.

Penulis di Dunia Moto datangnya dari seluruh pelusuk dunia, termasuklah dari Australia, Belanda, dan Belgium. Bagi senario tempatan pula, selagi kami diundang, wartawan dan jurugambar akan sentiasa ditugaskan ke acara-acara permotoran. Individu-individu dan kelab-kelab motosikal sekelian juga dijemput mengirimkan cerita dan gambar untuk kami siarkan. Cerita anda mempunyai peluang besar disiarkan sekiranya berkaitan dengan keselamatan jalanraya.

Kepada ribuan penyokong yang telah bersama-sama kami, marilah bersama menuju ke alaf baru dengan lebih teguh, lebih cemerlang, dan lebih banyak konvoi motor!

Selamat Tahun Baru dan tungganglah dengan selamat.


Joko Onn

© 1998-2000 TIME-Tristan Publishing (M) Sdn. Bhd.   Hakcipta Terpelihara.