Majalah Motosikal Tercanggih Di Malaysia ©      duniamoto@egroups.com
 MOTOTALK BIL. 32   Edisi Terdahulu   Cover & Poster   Kandungan   Edisi Seterusnya 

Fikirlah secara rasional!

Setiap kali rakyat Malaysia menyambut kedatangan sesuatu perayaan seperti Hari Raya dan Tahun Baru Cina, maka kes-kes kemalangan jalanraya akan turut meningkat. Bersangkutan dengan itu maka kerajaan bertindak melalui para penguatkuasa berkenaan seperti Polis dan JPJ bagi menangani segala masalah yang timbul.

Sepertimana yang kita sedia maklum bahawa setiap kali menjelang musim perayaan maka pihak Polis akan mula melaksanakan tindakan bersepadu seperti Ops Statik dan sebagainya. Namun apa yang perlu dinyatakan di sini ialah berkenaan sedikit penurunan terhadap kes-kes kemalangan jalanraya melibatkan motosikal. Memang ianya menunjukkan sedikit kemajuan namun ia masih boleh diperbaiki lagi.

Bagaimana untuk memperbaikinya? Sesuatu masalah yang timbul dalam hidup bermasyarakat dalam sesebuah negara majmuk mestilah ditangani serta diberi perhatian oleh setiap lapisan masyarakat. Maksudnya ialah betapa perlunya semua pengguna jalanraya untuk menyedari akan betapa pentingnya untuk saling hormat-menghormati serta bantu-membantu di kalangan pengguna jalanraya. Sebagai contoh katakanlah semasa menunggang di waktu malam, kita terlihat sebuah motosikal lain yang tidak menyala lampu belakangnya maka eloklah jika berpeluang beritahu penunggangnya bahawa lampu belakangnya tidak menyala. Faktor lampu belakang ini nampak tidak begitu penting, namun, itulah di antara sebab utama terdapatnya kes langgar lari.

Tidak dapat dinafikan terdapat sesetengah pemilik motosikal yang sengaja menanggalkan lampu belakangnya. Rata-rata dari mereka ini ternyata terikut-ikut dengan kawan-kawan. Alasan mereka pula lazimnya untuk kelihatan 'ranggi' atau 'brutal'. Untuk apa semua ini? Ranggi apa lagi jikalau jasad 'bersepah' atau 'bersepai' di atas jalanraya setelah dilanggar oleh kenderaan lain dari belakang.

Oleh itu saya merayu kepada semua pemilik kenderaan khususnya motosikal agar memikirkan sebaik-baiknya baik-buruk sesuatu pengubahsuaian yang dilakukan. Nyawa manusia bukan murah. Begitu juga dengan kehidupan...

...semuanya tidak boleh dijual-beli!


© 1998-2000 TIME-Tristan Publishing (M) Sdn. Bhd.   Hakcipta Terpelihara.