Majalah Motosikal Tercanggih Di Malaysia ©      duniamoto@egroups.com
 MOTOTALK BIL. 30   Edisi Terdahulu   Cover & Poster   Kandungan   Edisi Seterusnya 

CABARAN 2001...

Dalam kita mengejar kehidupan seharian, tidak sedar bahawa tahun 2000 ini telah sampai ke penghujungnya. Banyak suka duka yang telah kami lalui. Cabaran dan saingan yang datang dan pergi menjadikan majalah Dunia Moto ini lebih matang dan lebih dewasa. Kami telah mengkaji kekuatan dan kekurangan kami untuk melangkah maju pada masa hadapan. Selagi anda menyokong kami, selagi itulah majalah Dunia Moto akan senantiasa mengorak langkah, mencari ruang-ruang baru untuk meningkatkan martabat majalah ini.

Sempena bulan puasa yang mulia ini, kami ingin mengucapkan syukur kepada Tuhan yang maha kuasa kerana telah memberikan kami peluang untuk menyampaikan mesej-mesej mengenai keselamatan jalanraya, penunggangan berhemah serta berpeluang untuk mengajak anak-anak muda khasnya golongan penunggang motosikal supaya lebih berfikiran waras apabila menunggang. Kami berpeluang melakukannya pada karnival-karnival yang dijalankan disekitar tanah air. Bangi, Johor Bahru, Ipoh, Pulau Pinang adalah antara bandar-bandar yang pernah kami jelajahi untuk menyampaikan mesej kempen keselamatan jalanraya. Biarlah kami mengambil platform ini untuk menerapkan penunggangan berhemah melalui karnival dan melalui permainan dan hiburan yang sudah tentunya berkisar mengenai keselamatan jalan raya.

Majalah Dunia Moto ini akan merancang untuk melakukan pelbagai aktiviti lagi di masa hadapan untuk kebaikan pembaca sekelian. Kami yakin bahawa aktiviti-aktiviti sebegini merapatkan jurang di antara para penunggang dan pemilik motosikal sekelian. Maka dengan itu, pastikan anda tidak ketinggalan bersama-sama kami mengorak langkah untuk masa depan yang lebih cemerlang.

Sempena bulan Ramadhan ini, Dunia Moto ingin meminta ampun dan maaf sekiranya menyinggung atau melukakan mana-mana pihak sepanjang tahun 2000 ini samada secara sengaja atau pun tidak. Semoga kita terus berjaya pada masa-masa akan datang.

Hidup Dunia Moto !!!

© 1998-2000 TIME-Tristan Publishing (M) Sdn. Bhd.   Hakcipta Terpelihara.