DUNIA MOTO atau telah dikenali sebelum ini dengan nama Dunia Roda telah
lebih 2 tahun berada dalam pasaran majalah permotoran tanah air sejak Julai
1998. Oleh yang demikian, telah begitu banyak ranjau dan halangan yang telah
ditempuhi. Pelbagai perancangan dan tindakan telah dilakukan. Dan hingga
kini Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar walaupun terdapat
beberapa masalah kecil dan besar telah berjaya diatasi. Semuanya tidak akan
berjaya tanpa sokongan kuat para pembaca yang amat kami kasihi sekalian.
Oleh itu salah satu cara yang begitu sinonim dengan imej kami maka kami
telah adakan karnival dengan kerjasama dan tajaan dari pelbagai pihak yang
semakin meyakini kredibiliti majalah kesayangan semua ini. Matlamat kami
hanyalah semata-mata untuk mendidik para pembaca khususnya peminat jentera
beroda dua berkenaan pengetahuan dari perkara berkenaan keselamatan
jalanraya hinggalah kepada perkara-perkara teknikal yang menjadi pemangkin
keutuhan majalah ini.
Karnival Shell Sport Sutron bersama DUNIA MOTO yang telah berlangsung di
Bandar Baru Bangi baru-baru ini telah menjadi penyuntik semangat bagi kami
untuk meneruskan segala usaha yang telah dicurahkan. Ia juga menjadi lambang
akan keprihatinan kami dalam menerapkan unsur kesedaran akan keselamatan di
jalanraya khususnya dikalangan para penunggang motosikal. Lantas kami
mendapat sokongan bukan sahaja dari kalangan pembaca tetapi turut melibatkan
organisasi bukan kerajaan seperti Belia 4B dan agensi kerajaan seperti
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan juga syarikat-syarikat swasta
ternama seperti Shell Malaysia, Harley-Davidson Malaysia, Dunlop (M)
Industries Berhad, Solidgold Helmets S/B, Fieldsheer, AGV Asia, SkyBright
Optical, Marco Corporation, EMI Malaysia, Sunway Lagoon, Pedu Golf & Lake
Resort, RedBull, Indocafe dan Motorcycle Sales Center. Terimakasih kami yang
tidak terhingga kepada Pn Rahaini, daripada PKNS Bangi yang
bersungguh-sungguh membantu kami di dalam persiapan karnival ini. Kami juga
ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan syabas kepada pekerja-pekerja
PKNS Bangi yang tidak jemu-jemu menyumbang tenaga tulang empat kerat
walaupun karnival ini dijalankan pada hari cuti mereka.
Hasil dari kerjasama semua yang terlibat termasuk dengan sambutan
hangat para pengunjung terutama para bikers maka karnival yang telah
diadakan telah dijalankan dengan jayanya. Sehubungan dengan itu, kami
akan terus menganjurkan beberapa karnival lagi di masa akan datang.
Oleh yang demikian, pastikan bahawa anda sentiasa mengikuti perkembangan
semasa melalui majalah ini.
Buat kesekian kalinya, sekali lagi kami
mengucapkan jutaan terima kasih buat semua yang terlibat.
© 1998-2000 TIME-Tristan Publishing (M) Sdn. Bhd. Hakcipta Terpelihara.
|