Majalah Motosikal Tercanggih Di Malaysia ©      duniamoto@egroups.com
 MOTOTALK BIL. 34   Edisi Terdahulu   Cover & Poster   Kandungan   Edisi Seterusnya 

Motosikal dan Anda

Bulan April ini menandakan bahawa segala kemeriahan pusingan MotoGP akan bermula pada 8hb April ini di Suzuka. Pusingan MotoGP di negara kita hanya akan bermula pada 21hb Oktober 2001 nanti. Itu pun pusingan yang kedua terakhir.

Pusingan MotoGP tersebut ketika itu bakal menyaksikan perebutan tahta kejuaraan MotoGP bagi 2001. Adakah ianya akan kekal milik Kenny Roberts Jr atau pun mungkin saingan sengit yang sering diberikan oleh Valentino Rossi bakal lebih menjadi musim ini? Sama-sama kita terus meneka sehingga tiba ke saat itu.

Namun, apa yang menyedihkan ialah, sehingga artikel ini ditulis, tiada sebarang berita mengenai Kejohanan Cub Prix kita. Asia Road Racing juga seolah-olah tidak akan diadakan pada tahun ini... kenapakah perlumbaan utama negara dan Asia seolah-olah "untung batu tenggelam, untung sabut timbul?" Apakah sehingga kini, tiada kata putus untuk menganjurkan kejohanan pada musim ini? Masalah? Penaja yang kerap menarik diri atas alasan gawat?

Inilah yang dirisaukan tentang senario perlumbaan motosikal di negara kita. Terlalu banyak politik dan sekatan. Kita tiada pelumba pelapis yang mampu menaikkan nama negara di persada antarabangsa. Sistem pembangunan sukan lumba ini juga didapati seolah-olah di"anak tiri"kan. Pihak yang berkaitan nampaknya lebih berminat untuk menetapkan jumlah bayaran yang tinggi untuk lesen lumba, bayaran insurans dan caj kedoktoran (medical).

Golongan Belia & Sukan juga seolah-olah dilihat lebih berminat kepada sukan-sukan elit seperti skateboard, luncur layar, go-kart dan juga sukan X (extreme sports). Ini semua adalah permainan anak-anak orang kaya dan golongan atasan. Statistik menunjukkan terdapat hampir 3 juta pemilik motosikal wujud di negara kita ini dan hampir pasti terdapat 40% daripadanya adalah golongan 16-25 tahun. Daripada golongan ini, hampir keseluruhan berminat dalam sukan lumba motosikal. Mengapakah tiada pihak NGO, Kerajaan atau agensi-agensinya tampil untuk menganjurkan kejohanan-kejohanan tempatan? Sehingga kini, kami puas meneka.

Dunia Moto selaku majalah yang mengenengahkan motosikal sebagai premium persembahan, kami hanya mampu melakukan sekecil-kecilnya aktiviti untuk menarik anak-anak muda ini dari jalan-jalan raya ke litar Batu Tiga untuk acara Bike Component Test. Itu pun kami hanya termampu bertindak sebagai media bagi acara yang dianjurkan oleh pihak Pengurusan Batu Tiga.

Setakat ini, beginilah saja yang kami selaku syarikat penerbitan majalah yang kecil mampu untuk mengurangkan kadar kemalangan, kecederaan dan kematian anak-anak muda yang minat dalam perlumbaan motosikal tetapi tiada saluran dan kemampuan.

Oleh itu, jemputlah ke BTSC atau litar Batu Tiga untuk turut serta memeriahkan dan secara tidak langsung menyumbang kepada pembangunan sukan lumba motosikal. Samada anda sedar atau tidak, bayaran tiket RM10 anda itu sebenarnya membantu pihak-pihak yang menganjurkan BCT ini untuk mewujudkan pusingan yang seterusnya.

Sekiranya kurang bilangan yang hadir, maka kurang meriahlah pusingan seterusnya. Begitu juga sebaliknya. Datanglah beramai-ramai menunjukkan sokongan anda demi peningkatan anak bangsa dalam...

sukan lumba motosikal...


© 1998-2000 TIME-Tristan Publishing (M) Sdn. Bhd.   Hakcipta Terpelihara.