Majalah Motosikal Tercanggih Di Malaysia ©      duniamoto@egroups.com
 MOTOTALK BIL. 23   Edisi Terdahulu   Cover & Poster   Kandungan   Edisi Seterusnya 

NEGARA SEMAKIN MAJU...

JALANRAYA SEMAKIN TERUK !!!

Negara kita kini semakin maju. Lihat saja prasarana pembangunan dalam negara yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat seperti kewujudan Pusat Pentadbiran Kerajaan Putrajaya, Jambatan Pulau Pinang, Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur, Sistem Aliran Transit Ringan, bentangan lebuhraya yang menghubungkan utara selatan, kewujudan syarikat automotif tempatan seperti Modenas, Proton dan bermacam-macam lagi. Semua itu menjadi simbol kemajuan negara.

Bercakap mengenai kemajuan negara lazimnya hanya indah belaka. Namun bagi pengguna motosikal yang menggunakan jalanraya mahu pun lorong motosikal (pengguna di sekitar Lembah Kelang) masih berhadapan dengan pelbagai masalah lantaran sikap sesetengah pihak yang meng"anak tiri"kan penunggang motosikal. Tatkala kualiti binaan lebuhraya yang dikatakan antara yang terbaik di Asia, masih ramai yang "tidak menyedari" akan bahaya yang dihadapi oleh para penunggang motosikal lantaran keadaan jalanraya biasa yang sering mendatangkan bahaya pada penunggang motosikal seperti permukaan jalan yang tidak rata setelah ditampal, kerja-kerja pembinaan yang tidak diselenggara dengan baik (tiada tanda amaran yang jelas), rekabentuk laluan sikal yang tidak praktikal dan sebagainya.

Perkara-perkara seperti yang telah dinyatakan tadi seringkali menjadi sebab kemalangan parah bagi penunggang motosikal dan sebagaimana yang kita sedia maklum kemalangan sebegini banyak terjadi di jalan-jalan biasa berbanding di lebuhraya. Oleh itu kami amat mengalu-alukan sebarang usaha untuk mengkaji taraf dan kualiti jalanraya biasa oleh mana-mana pihak yang berkenaan demi meningkatkan tahap keselamatan di jalanraya agar tiada lagi lubang-lubang kesan kerja-kerja pembangunan yang boleh membahayakan penunggang motosikal. Kami juga menyeru pihak-pihak berkenaan yang mungkin terdiri dari beberapa jabatan kerajaan yang berlainan agar mencari jalan penyelesaian bersama kearah meningkatkan tahap keselamatan.

Selain daripada faktor tahap keselamatan jalanraya, penunggang motosikal juga mestilah turut memainkan peranan demi keselamatan diri masing-masing. Pakailah pakaian keselamatan yang sesuai semasa menunggang dan selenggaralah motosikal anda dengan baik agar tidak menimbulkan masalah dalam perjalanan. Seperkara yang amat penting serta sering diambil mudah oleh kebanyakkan penunggang ialah kepentingan memastikan tali pengikat topi keledar diikat dengan kemas. Ini adalah kerana topi keledar yang dipakai mudah tercabut atau terpelanting jika terjadinya kemalangan lantas mendedahkan kepala kepada risiko kecederaan parah yang boleh menyebabkan kematian! Oleh itu pastikan ianya diikat dengan kemas dan jadikan ianya sebagai satu amalan wajib setiap kali sebelum menunggang motosikal.

Bersama kita membantu mengurangkan angka statistik kemalangan statistik kemalangan yang melibatkan penunggang motosikal!

© 1998-2000 TIME-Tristan Publishing (M) Sdn. Bhd. Hakcipta Terpelihara.