Majalah Motosikal Tercanggih Di Malaysia ©      duniamoto@egroups.com
 MOTOTALK BIL. 9   Edisi Terdahulu   Cover & Poster   Kandungan   Edisi Seterusnya 

Harapan Bakal Juara Terjejas ...

NAMPAKNYA kegawatan ekonomi bukan sahaja menjejaskan individu yang kehilangan pekerjaan tetapi juga turut membantutkan usaha-usaha murni yang dilakukan sebelum ini. Apa yang dimaksudkan di sini ialah kekurangan penajaan akibat kegawatan ekonomi telah mengakibatkan segala perancangan seperti usaha melahirkan jaguh lumba tempatan dan usaha untuk mengurangkan kegiatan lumba haram tidak dapat dijalankan. Aktiviti permotoran nampaknya memerlukan rakan sukan seperti mana sukan-sukan lain juga.

Penajaan adalah elemen penting dalam setiap kegiatan sukan terutamanya yang memusatkan kepada kelahiran bintang dan bakat-bakat muda yang perlu dicari di peringkat akar umbi kerana ia tidak akan datang dengan sendirinya. Berbagai pertandingan perlu dijalankan untuk mengenalpasti mereka yang berbakat. Begitu jugalah dengan sukan permotoran kerana dengan tiadanya perlumbaan peringkat akar umbi, maka tiadalah pelumba-pelumba muda negara sedangkan pada masa yang sama Malaysia berhasrat menguasai arena permotoran.

Adakah kita hanya mahu melihat aksi pelumba luar negara pada setiap perlumbaan bertaraf antarabangsa yang dilangsungkan di negara ini. Pastinya kita juga mahu melihat aksi pelumba negara yang turut beraksi dengan cemerlang di gelanggang sendiri mahupun gelanggang antarabangsa. Pastinya kita juga mahu berbangga kerana memiliki pasukan tempatan yang beraksi di luar negara yang akan mengibarkan Jalur Gemilang di mata dunia.

Tetapi mampukah kita semua melaksanakannya sekiranya tidak mempunyai kantung yang besar. Bukan sahaja untuk menubuhkan sebuah pasukan yang lengkap ataupun untuk membeli jentera yang setanding tetapi yang paling utama ialah melahirkan jaguh-jaguh muda yang layak diketengahkan.

Ketiadaan cub prix (sekiranya benar) akan menjejaskan usaha melahirkan jaguh tempatan. Kerana jaguh yang ada hari ini perlu diganti dengan yang baru dan di mana hendak dicari jika tiada perlumbaan tempatan yang layak mereka sertai. Bakat yang ada hanya akan tenggelam begitu sahaja. Merugikan pelumba itu sendiri dan juga merugikan negara yang tidak memiliki barisan pelumba pelapis yang baik.

Tetapi yang paling menakutkan ialah nanti akan bertambahlah pula kegiatan tidak berfaedah seperti lumba haram bagi anak-anak muda yang mahu melepaskan gian berlumba. Jalan raya akan dijadikan gelanggang yang tidak mempunyai aspek keselamatan langsung. Nyawa akan melayang begitu sahaja dan negara akan tetap kerugian kerana hilang sudah pelapis yang akan memanfaatkan negara.

Jika ada penaja yang mempunyai kantung yang agak besar, bantulah industri ini. Apalah gunanya negara mempunyai litar yang berharga puluhan juta sekiranya ia hanya layak digunakan oleh pelumba luar negara sedangkan pelumba kita hanya layak menjadi penonton.

Pertimbangkanlah.

© 1998 TIME-Tristan Publishing (M) Sdn. Bhd. All rights reserved.