Majalah Motosikal Tercanggih Di Malaysia ©      duniamoto@egroups.com
 MOTOTALK BIL. 12   Edisi Terdahulu   Cover & Poster   Kandungan   Edisi Seterusnya 

DUNIA RoDA Genap Setahun!

Terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan buat semua pembaca setia majalah DUNIA RoDA. Kini genaplah setahun kemunculan majalah kesayangan kita semua di tengah-tengah krisis kegawatan ekonomi. Namun begitu DR masih teguh berdiri diatas tapak kaki sendiri lantas menangkis segala macam sindiran dan cemuhan yang mengatakan DR akan berkubur dalam masa tidak sampai setahun, kami buktikan sebaliknya! Ini semua kerana sokongan jitu dari pembaca budiman semua terutama kepada mereka yang sudi memberikan tindak balas kepada kami melalui ruangan ‘Tinjauan Pembaca’.

Beberapa hari lalu sebelum artikel ini ditulis, kami dikejutkan oleh berita kenaikan harga kertas diseluruh dunia sebanyak 30%! Pada asasnya ia sememangnya amat mempengaruhi kos pengeluaran kami, namun hasil daripada pengamatan kami, kami terpaksa mengambil keputusan melalui alternatif lain dengan menggunakan jenis kertas yang agak murah tetapi masih mempunyai mutu yang tinggi dan kami akan cuba bertahan pada harga seperti sedia ada bagi tempoh selama mana yang terdaya.

Sungguh pun begitu, kami akan tetap menjanjikan kualiti kandungan yang terbaik selaras dengan slogan kami iaitu “Majalah Motosikal Berprestasi Tinggi”. Oleh yang demikian, kini Dunia Roda turut dianggotai oleh dua ahli baru yang benar-benar ‘gila motor’ iaitu Mohd Mukhridz Madzalan yang akan dikenali sebagai Along Piston selaku Editor Teknikal manakala seorang lagi ahli baru ialah Richard Ooi yang akan dikenali sebagai Richard Gear yang ditugaskan selaku Pegawai Pemasaran dan juga bertindak sebagai Pembantu Editor. Mereka menyertai DR bukan kerana untuk mengejar ‘glamour’ serta wang ringgit tetapi adalah kerana cinta dan minat yang amat mendalam terhadap motosikal.

Kedua-dua mereka ini akan menulis segala perkara yang berkaitan dengan motosikal khususnya disegi teknikal. Sungguhpun begitu, Richard juga akan memainkan peranannya dibahagian pemasaran. Kami yakin dengan kesungguhan semua yang terlibat di Dunia Roda pasti akan membuahkan hasil yang terbaik khususnya diruangan yang bersifat teknikal yang pasti boleh dimanfaatkan oleh pembaca sekalian dan kami berharap agar pembaca semua akan terus memberikan sokongan jitu buat majalah kesayangan semua ini.

TERIMA KASIH ...!!!

© 1998 TIME-Tristan Publishing (M) Sdn. Bhd. All rights reserved.