Majalah Motosikal Tercanggih Di Malaysia ©      duniamoto@egroups.com
 MOTOTALK BIL. 8   Edisi Terdahulu   Cover & Poster   Kandungan   Edisi Seterusnya 

GONG XI FA CHAI

ANDA tahu apa yang istimewanya bulan ini? Selain dari rakan-rakan di pejabat menyambut Tahun Baru Cina dan kita orang pula dapat cuti seminggu, bulan ini adalah bulan penentuan siapa yang akan menunggang Honda Shadow VT600 dengan hanya membayar RM65.00 sahaja. Hebat kan?

Tentu ramai yang lupa dengan peraduan yang kami adakan sejak keluaran pertama lagi dan ditutup pada penghujung tahun lalu. Sambutannya ... mak oi! Begitu menggalakkan. Susah juga nak tentukan pemenangnya. Bukannya apa ... slogan yang diberikan semua bagus. Mengancam ... hebat-hebat belaka. Pastinya tak tidur malam memerah otak untuk dapatkan slogan terbaik. Ye tak? Tapi kalau ada yang tidak bernasib baik... janganlah mudah putus asa. Bak kata orang ... tak ada rezeki.

Edisi bulan depan kami akan menyiarkan senarai penuh pemenang-pemenang yang bertuah termasuk mereka yang memenangi hadiah-hadiah saguhati. Dan, jika tiada aral melintang upacara penyampaian hadiah juga akan diadakan secara agak besar juga, jika tidak gilang gemilang. Maklumlah sekarang gawat pun belum habis ... jadi kenalah berjimat sikit. Jadi, bagi mereka yang telah bermurah hati melanggan majalah ini dan bersusah payah mendapatkan jawapan serta slogan yang baik, pastikan anda tidak ketinggalan mendapatkan edisi Mac depan kerana manalah tahu dengan hanya bermodalkan RM65.00, anda untung RM25,000.00. Dahsyat tu ...!!!

Mengambil kesempatan ini juga, kami di DUNIA RoDA ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina, Gong Xi Fa Chai kepada pembaca-pembaca kaum Cina yang menyambut Tahun Baru. Angpau talak ka? Untuk menyambut Tahun Baru jugalah, kami di sini sibuk bukan main lagi. Bukannya sibuk membakar kuih bulan, tapi sibuk mengira berapa kotak buah limau yang dihantar. Buah limau ni diibaratkan sebagai emas. Kaya tu ... kenduri sakanlah jawabnya. Maklumlah tak payah berpuasa lagi.

Seperti bulan lalu, bulan ini kita masih lagi dalam mood perayaan. Dua bulan berturut-turut kita beraya. Dua bulan berturut-turut kita bercuti panjang. Jadi bagi mereka yang ingin balik kampung lagi sekali, ataupun yang berhasrat melancong, jagalah keselamatan. Itu sahaja yang dapat diberikan. Nak bagi angpau, kat sini pun gawat juga.

Sebabnya kadang kala yang menyambutnya bukan sahaja kaum Cina, tetapi semua kaum yang mengambil kesempatan dari cuti panjang untuk turut serta memeriahkan perayaan kali ini. Perbelanjaan juga perlulah disekat. Janganlah terlalu membazir. Usahlah beli banyak-banyak sangat. Kadang kala tu ... dah habis raya, buah limau masih belum habis dimakan. Busuk begitu sahaja. Itukan membazir namanya.

Berakhirnya perayaan tahun ini bermakna kita akan menyambut setahun penuh lagi dengan berbagai aktiviti permotoran. Antaranya ialah Kejuaraan Grand Prix Dunia yang akan memulakan musim baru di Litar Sepang, April depan. Jadi pastikan anda mendapat keluaran khas bersempena Grand Prix di mana kami akan memberikan laporan lengkap dan terperinci tentang apa sahaja yang anda ingin ketahui.

Dan, bagi mereka yang belum lagi menyertai ADR, jangan tunggu lama-lama. Kami sedang merangka berbagai akviti bersempena dengan GP nanti dan pastinya anda tidak ingin ketinggalan menjadi salah seorang yang memeriahkan GP sebagai ahli ADR.

Gong Xi Fa Chai

© 1998 TIME-Tristan Publishing (M) Sdn. Bhd. All rights reserved.