Majalah Motosikal Tercanggih Di Malaysia ©      duniamoto@egroups.com
 MOTOTALK BIL. 10   Edisi Terdahulu   Cover & Poster   Kandungan   Edisi Seterusnya 

FIM Grand Prix Dunia

BULAN ini seperti di tahun-tahun sebelumnya kita sekali lagi akan mementaskan sebuah aktiviti permotoran bertaraf dunia. Penganjuran Kejuaraan FIM Grand Prix Dunia bukanlah kali pertama dianjurkan di Malaysia tetapi sudah mencecah lapan kali sejak dimulakan pada tahun 1991 lalu.

Tetapi penganjuran kali ini bukanlah seperti di tahun-tahun sebelumnya kerana kali ini ianya akan lebih meriah apatah lagi akan dilangsungkan di litar bertaraf dunia yang menelan kos sehingga RM286 juta, Litar F1 Sepang. Pelancarannya telah pun disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed dengan dihadiri oleh beberapa pelumba Formula 1 Dunia seperti Juara Dunia 1998, Mika Hakinen; pemandu pasukan Ferrari, Eddie Irivie dan juga dua pelumba pasukan tajaan Petronas iaitu Jean Alesi dan Pedro Diniz.

Di sebalik kemeriahan itu, terdengar juga cakap-cakap yang tidak senang didengar. Kononnya penganjur pelancaran litar ini, MAB (Malaysia Airport Berhad) tidak mengendahkan tetamu yang dijemput khas untuk upacara ini. Dan, yang lebih tidak menyenangkan ialah perbandingan yang dibuat dengan Litar Shah Alam yang dikatakan tidak sehebat Litar Sepang tetapi ‘kemesraan’ begitu memuaskan.

Litar F1 Sepang kini adalah antara litar tercanggih dan termaju di dunia. Sesungguhnya seluruh rakyat Malaysia berbangga dengan kemajuan ini tetapi kita juga haruslah memiliki ‘kemesraan’ yang terbaik di dunia. Apatah lagi dengan orang asing yang bukan sahaja kagum dengan kepesatan Malaysia tetapi juga kagum dengan sifat kesopanan yang sememangnya dikenali di seluruh dunia.

Suka juga menyatakan di sini kadang kala perkara yang berlaku seakan ‘kerana setitik nila, rosak susu sebelanga’. Tentunya pihak-pihak atasan MAB dan juga anak syarikatnya SIC (Sepang International Circuit) tidak tahu menahu langsung tentang perkara ini. Perkara sebegini kadang kala ditimbulkan oleh kakitangan mereka yang kadang kala tidak tahu langsung untuk bertolak ansur. Sehinggakan mereka tidak kenal dengan siapa mereka berurusan ketika itu. Mengikut peraturan yang keterlaluan sememangnya akan menimbulkan keadaan yang merumitkan, apatah lagi dengan pengunjung luar yang tentunya tidak akan mendiamkan diri begitu sahaja.

Jadi, sebelum kita menyambut tetamu yang lebih ramai nanti pastikan kita bersedia bukan sahaja dari segi penyediaan litar lumba tetapi juga dari segala segi. Ini adalah kali pertama Litar F1 Sepang akan mementaskan sebuah kejuaraan dan selaku tuan rumah kepada kejuaraan ini, MAB dan SIC tentunya perlu memastikan tiadanya kakitangan mereka yang bertindak sehingga tidak kenal dengan siapa mereka berurusan.

Berwaspada.

© 1998 TIME-Tristan Publishing (M) Sdn. Bhd. All rights reserved.