Majalah Motosikal Tercanggih Di Malaysia ©      duniamoto@egroups.com
 MOTOTALK BIL. 26   Edisi Terdahulu   Cover & Poster   Kandungan   Edisi Seterusnya 

Karnival Kekal Lancar

DUNIA MOTO atau telah dikenali sebelum ini dengan nama Dunia Roda telah lebih 2 tahun berada dalam pasaran majalah permotoran tanah air sejak Julai 1998. Oleh yang demikian, telah begitu banyak ranjau dan halangan yang telah ditempuhi. Pelbagai perancangan dan tindakan telah dilakukan. Dan hingga kini Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar walaupun terdapat beberapa masalah kecil dan besar telah berjaya diatasi. Semuanya tidak akan berjaya tanpa sokongan kuat para pembaca yang amat kami kasihi sekalian. Oleh itu salah satu cara yang begitu sinonim dengan imej kami maka kami telah adakan karnival dengan kerjasama dan tajaan dari pelbagai pihak yang semakin meyakini kredibiliti majalah kesayangan semua ini. Matlamat kami hanyalah semata-mata untuk mendidik para pembaca khususnya peminat jentera beroda dua berkenaan pengetahuan dari perkara berkenaan keselamatan jalanraya hinggalah kepada perkara-perkara teknikal yang menjadi pemangkin keutuhan majalah ini.

Karnival Shell Sport Sutron bersama DUNIA MOTO yang telah berlangsung di Bandar Baru Bangi baru-baru ini telah menjadi penyuntik semangat bagi kami untuk meneruskan segala usaha yang telah dicurahkan. Ia juga menjadi lambang akan keprihatinan kami dalam menerapkan unsur kesedaran akan keselamatan di jalanraya khususnya dikalangan para penunggang motosikal. Lantas kami mendapat sokongan bukan sahaja dari kalangan pembaca tetapi turut melibatkan organisasi bukan kerajaan seperti Belia 4B dan agensi kerajaan seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan juga syarikat-syarikat swasta ternama seperti Shell Malaysia, Harley-Davidson Malaysia, Dunlop (M) Industries Berhad, Solidgold Helmets S/B, Fieldsheer, AGV Asia, SkyBright Optical, Marco Corporation, EMI Malaysia, Sunway Lagoon, Pedu Golf & Lake Resort, RedBull, Indocafe dan Motorcycle Sales Center. Terimakasih kami yang tidak terhingga kepada Pn Rahaini, daripada PKNS Bangi yang bersungguh-sungguh membantu kami di dalam persiapan karnival ini. Kami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan syabas kepada pekerja-pekerja PKNS Bangi yang tidak jemu-jemu menyumbang tenaga tulang empat kerat walaupun karnival ini dijalankan pada hari cuti mereka.

Hasil dari kerjasama semua yang terlibat termasuk dengan sambutan hangat para pengunjung terutama para bikers maka karnival yang telah diadakan telah dijalankan dengan jayanya. Sehubungan dengan itu, kami akan terus menganjurkan beberapa karnival lagi di masa akan datang. Oleh yang demikian, pastikan bahawa anda sentiasa mengikuti perkembangan semasa melalui majalah ini.

Buat kesekian kalinya, sekali lagi kami mengucapkan jutaan terima kasih buat semua yang terlibat.

© 1998-2000 TIME-Tristan Publishing (M) Sdn. Bhd.   Hakcipta Terpelihara.