Majalah Motosikal Tercanggih Di Malaysia ©      duniamoto@egroups.com

KONVOI PERTAMA BIKERS NET GROUP

  Destinasi. . . Hutan Lipur Ulu Bendul, Negeri Sembilan.

Bikers Net Group (BNG) telah ditubuhkan pada 21hb. Ogos 1998 yang mana secara amnya beroperasi melalui email dan internet. Ahli BNG kini telah melebihi 200 orang. Keahlian terbuka kepada peminat dunia dua roda tanahair tanpa mengira had umur dan jenis motosikal yang digunakan. Keahlian adalah percuma tetapi anda mestilah mempunyai akaun email untuk menjadi ahli. Namun BNG bukan sekadar berinteraksi melalui email atau internet, BNG kerap mengadakan perjumpaan dan aktiviti-aktiviti yang bersangkut-paut dengan motosikal. Kini buat pertama kalinya BNG telah menganjurkan konvoi bermotosikal dan destinasi yang dipilih adalah Hutan Lipur Ulu Bendul, Negeri Sembilan. Sebenarnya bukan sahaja ke Hutan Lipur Ulu Bendul , BNG juga dijemput untuk memeriahkan majlis perkahwinan adik kepada Udin (ahli BNG) di Pedas. Sebanyak 17 buah motosikal dan 20 orang ahli telah menyertai konvoi ini.

Pada hari Ahad 16hb. April 2000, seawal pukul 8.00 pagi kami telah mula berkumpul di tol Sg. Besi sambil berkenal-kenal diantara satu sama lain. Maklumlah, ada diantara kami yang langsung tidak pernah bersua muka. Apatah lagi konvoi ini hanya diaturkan melalui interaksi email. Sehingga pukul 9.15 pagi, masih ada ahli yang belum tiba. Apabila dihubungi, rupanya fairing motor TZM Ayie tercabut dan Mukhrid z pula hanya dapat menyertai konvoi selepas pukul 12 tengahari. Setelah perbincangan ringan diadakan, kami mengambil keputusan untuk berkonvoi ke rumah Ayie di Kajang. Tak sampai hati pula nak tinggalkan kawan yang seorang ni, adat berkawan. Susah sama susah, senang sama senang. Sebelum memulakan perjalanan, Sifu sebagai Chief Marshall memberikan penerangan berkenaan langkah-langkah keselamatan semasa berkonvoi kepada ahli-ahli dan diikuti bacaan do'a oleh Hazrol. Sebaik sahaja perjalanan hendak bermula, ZZR 250 Hazrol tidak dapat dihidupkan. Setelah beberapa percubaan tidak berhasil, kena tolak juga akhirnya. Kami tiba di Kajang pada pukul 10.00 pagi, sampai di rumah Ayie masing-masing mengadu belum bersarapan pagi. Emm... kenalah ikut suara majoriti. Hazrol tidak berlengah memeriksa punca masalah motor beliau. Rupanya skru penyambung bateri telah longgar, setelah diketatkan maka selesai satu masalah. Zulfa yang menunggang Shadow pula menawarkan diri untuk membonceng Ayie, selesai lagi satu perkara. Kami singgah di Courts Mammoth Kajang untuk meletakkan motosikal manakala bersarapan pagi di seberang jalan.

  ...nak buat macamana, elak sana elak sini dan yang satu ni nak mengena juga!

  

Lebih kurang pukul 10.20 pagi, kami bertolak ke Negeri Sembilan melalui lebuhraya. Singgah sebentar di stesyen minyak Petronas Bangi untuk mengisi petrol dan meneruskan perjalanan hingga ke Tol Senawang. Konvoi yang mulanya bergerak dengan kelajuan malar 100-110km/j terpaksa diperlahankan sehingga 80km/j kerana motor KIPS Asri pula bermasalah. Tiba di Tol Senawang, giliran memeriksa motor Asri pula. Rupa-rupanya injap KIPS motornya mengalami kekejangan, injap telah terbuka dan tidak boleh tertutup semula. Ikhtiar kami adalah dengan mengetuk masuk injap KIPS tersebut, biar pun injap tidak boleh terbuka lagi selepas itu namun prestasi motosikal ini adalah lebih baik dari sebelumnya. Malah Asri sentiasa berada di hadapan biar pun kelajuan konvoi kembali kepada 100-110km/j selepas itu. Jadual kami sepatutnya pergi ke Ulu Bendul dahulu sebelum ke majlis perkahwinan di Pedas. Menyedari yang kami akan terlewat tiba di majlis perkahwinan jika ke Ulu Bendul terlebih dahulu, maka Sifu mengambil keputusan untuk terus menukar haluan ke arah Pedas. Kami membuat pusingan U dan keluar dari Tol Senawang menuju lebuhraya semula. Kami tiba di Tol Pedas / Linggi pada pukul 12.00 tengahari. Berhenti rehat sambil menghubungi Mukhridz. Beliau dalam perjalanan dan telah pun melepasi kawasan Bangi. Tepat pukul 12.45 beliau pun sampai dan ada lagi 15 minit untuk beliau berehat sebelum perjalanan diteruskan. Kami meneruskan perjalanan pada pukul 1.00 tengahari menuju rumah pengantin, masalah juga jika masing-masing tak biasa dengan tempat yang dituju. Berbekalkan lakaran peta pada kad jemputan, dapat juga kami tiba di rumah pengantin biar pun berkali-kali pusing sana dan sini. Namun sepanjang perjalanan ke rumah pengantin disaksikan sekalian lembu, kerbau dan kambing. Motor ZXR 250 Azman pula dapat sticker percuma, sticker tahi Lembu gamaknya. Besar pula tu, jadi bahan ketawa dan sindiran rakan-rakan. Tapi nak buat macamana, elak sana elak sini dan yang satu ni nak mengena juga! Sebaik sahaja tiba di rumah pengantin dan meletak motosikal, kami disediakan air sirap limau oleh tuan rumah. Lega... lepas jugalah dahaga walau pun perjalanan dari tol tadi tak sejauh mana. Biar pun tak jauh tetapi matahari tegak di atas kepala, menitis juga peluh dibuatnya.

Sepatutnya kami makan bersama pengantin, malangnya pengantin lambat sampai. Tuan rumah kata tak perlu tunggu, kami bedal dulu. Seperti yang dijanjikan, daging Kerbau masak kari telah tersedia di hadapan mata. Lauk-pauk lain pun ada juga, siapa yang sanggup melihat sahaja. Yang tambah nasi sampai 5 pinggan pun ada, masa di Kajang tu tidak bersarapanlah agaknya. Selesai makan, masing-masing bawa kerusi dan berkumpul dibawah pokok bersebelahan khemah. Selalunya group discussion kami melalui email sahaja, namun kali ini secara in-person pula. Ternyata lebih meriah dan seronok! Biar pun pertama kali berjumpa, tetapi tidak kekok langsung bila berbual. Mungkin juga kerana kami telah mengenali karektor masing-masing semasa berinteraksi melalui email setiap hari. Perbualan masih lagi berkisar cerita-cerita berkenaan motosikal, kereta, turbo dan konvoi. Dalam pada seronok berbual, tanpa disedari jam telah menunjukkan pukul 3.00 petang. Tuan rumah meminta kami menunggu kerana hadiah untuk ahli-ahli konvoi sedang dibungkus. Rupanya makanan untuk bekalan kami semasa di Ulu Bendul nanti. Tidak ketinggalan juga telur rebus dan bunga telur. Sifu diberi penghormatan menepung-tawar pengantin, dapat satu lagi bunga telur. Terima kasih kepada Udin sekeluarga diatas layanan istimewa yang kami terima.

  

Kami meneruskan perjalanan ke Ulu Bendul pada pukul 3.40 petang. Kali ini melalui jalan lama dari simpang tiga Kampung Batu dan seterusnya melalui jalan Bukit Miku ke Johol. Ada beberapa bahagian jalan yang sedang diratakan dengan batu kerikil dan banyak juga bahagian jalan yang baru diturap. Masing-masing tidak melepaskan peluang melayan selekoh-selekoh tajam, bukan sahaja motosikal ala perlumbaan malah yang easy rider pun berapi-api pemijak kaki. Kelajuan mengambil selekoh terpaksa dikawal oleh Sifu kerana bimbang dengan gaung yang berada di kiri kanan jalan, lagi pun ramai yang masih tertinggal di belakang. Kami sampai di Ulu Bendul pada pukul 5.00 petang, walau pun dah lewat tetapi masih sempat minum sekali lagi . Masing-masing basah kuyup berpeluh, mungkin penat melayan selekoh (atau sebenarnya ketakutan melayan selekoh yang begitu tajam). Sebelum edisi terjun air, terpaksa buat jungle tracking terlebih dahulu. Apa nak buat, air terjun di hujung nun. Belum sempat peluh nak kering, tambah berpeluh lagilah nampaknya. Yang paling seronok bila dah sampai, apa lagi terjuuunnn...!!! Seperti biasa, ada yang tak puas terjun dan berendam. Puas tak puas terpaksa meneruskan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, lagi pun hari dah lewat petang.

Kami memulakan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur pada pukul 7.00 petang, berhenti di perhentian Seremban untuk mengisi petrol di samping sessi perpisahan. Sifu memberikan taklimat terakhir dan seterusnya ahli-ahli kembali ke destinasi masing-masing. Biar pun hampir separuh daripada ahli BNG baru pertama kali berkonvoi, namun konvoi kali ini cukup teratur yang mana ahli-ahli telah menunjukkan disiplin yang cukup tinggi. Terima kasih dan tahniah saya ucapkan kepada ahli-ahli di atas kerjasama yang diberikan. Alhamdulillah, akhirnya konvoi BNG yang pertama ini berjaya juga dilaksanakan tanpa sebarang perkara yang tidak diingini. Biar pun konvoi kali ini tidak begitu besar, BNG tetap berpuashati kerana konvoi julung-julung kalinya ini berjaya mencapai matlamat Motto BNG iaitu "Penunggang Motosikal Bermaklumat Dan Berdisiplin Di Jalanraya".

Website http://bikersnetgroup.tripod.com

ShamZX11@speedrulz.com