Majalah Motosikal Tercanggih Di Malaysia ©      duniamoto@egroups.com

KEMBARA ACID DAN BOY 'MACHO'

Kisah Port Dickson, Morib dan Bukit Frazer. . .

Mandi di Teluk Kemang. Padang golf di belakang Hotel Sri Morib. Pagi pagi kelihatan sungguh indah. Tapak perkelahan di bawah jambatan besi jalan antara Kuala Kubu baru dan Gate. Air sejuk dan deras.
Di puncak Bukit Frazer, Acid dan Boy. Boy di restoran beratapkan plastik di Puncak Inn, Bukit Frazer. Harga makanan, bolehlah. Ini sahajalah air terjun di Bukit Frazer. Macam parit jer.
Muzium Bukit Frazer, cantik tetapi tutup. Boy, di pucak Bukit Frazer. Motor jenis cub pun banyak naik ke atas. Kehabisan minyak. Kereta Porshe pun pernah isi minyak dari kedai runcit ini.

30hb.September. Hati penuh semangat, packing barang-barang yang perlu dibawa untuk trip petang ni. Dah janji dengan member nak pergi riding lagi hujung minggu. Kita nak ride bertiga jer. Maklumlah, seorang member ni baru sahaja beli motosikal, jenis easy rider Vulcan 750cc , jadi dia ni tengah kemaruk nak jalan. Memang saya selalu apikan dia untuk riding bersama. Selalu saya ceritakan kat dia macam-macam pengalaman yang best-best jer. Yang tak best dan yang boring tu saya tak cerita langsung. Biar ler dia experience sendiri. Member ni kerja sama tempat dengan saya. Setiap kali jumpa kat ofis, setiap kali dia konfirm yang dia nak ikut riding ni.

Jam 3:00 petang semua keperluan dah siap. Pakaian, berus gigi, kompas kiblat, lampu picit dan lain-lain semua dalam satu beg yang diikat di belakang seat. Jeans tambahan, Camera Canon EOS, selipar dan keperluan lain dalam bag carrier Givi. Tunggu masa jer nak bergerak. Dalam keadaan tu tergerak pulak untuk pastikan dengan member yang seorang lagi tu. Start kereta dan terus ke tempat dia selalu lepak, Pondok nelayan. Member ni seorang nelayan, pakai Shadow VLX 600. Geng kat pondok tu cerita yang si member ni dah ke laut 2 jam tadi. Alamak apa dah jadi ni? Member ni lupa kot? Biasa ler tu, organize ride ni kekadang bukan senang. Ada masa semuanya berjalan lancar, ada masanya terpaksa bungkuskan program terus, batalkan rancangan. Pernah dulu saya buat plan berempat nak tour keliling Malaysia selama 6 hari. Cuti dah ambil, tempat-tempat menginap dah kita merisik melalui internet dan telefon. Pendek kata dah bermodal ler juga, tapi saat-saat akhir seorang demi seorang member tarik diri kerana macam-macam problem. Akhirnya saya tiada pilihan, samada teruskan solo ride atau batalkan sahaja rancangan dan duduk rilek kat rumah. Fikir punya fikir akhirnya saya ambil keputusan untuk ajak isteri dan anak yang kecil sekali naik kereta jer. Isteri bahagia anak pun gembira.

  ...badan pun dah beku, bila buka sarung tangan jer... adussss! tapak tangan dah jadi hitam legam... sarung tangan baru beli tu, nak tahu apa jenamanya? saya nak cakap terus terang, tak perlu sorok-sorok, seperti mana DUNIA MOTO pernah kata, kalau bagus kami kata bagus, kalau tak bagus takkan kami nak bohong... sarung tangan tu jenis...

Okay lah, tak kisah lah tu semua, berdua pun bagus jugalah. Jam 4:00 petang kami berdua dah pun berada di atas jalanraya, ZZR 250 dan Vulcan 750. Meluncur di atas lebuh raya Tangkak ke Utara tu, teringatkan pula kisah bermotosikal bulan lepas, di mana saya dan Udo (Jerman) tu pergi makan angin, tapi motor problem pulak tak dapat naik sampai puncak Genting Highlands tu. Saya sudah periksa ZZR tu sebelum kami berlepas dalam trip kali ini seperti ganti plug baru dan buangkan minyak enjin sebanyak 180 ml yang terlebih dalam enjin. Mungkin inilah sebabnya motor tersangkut-sangkut semasa trip bulan lepas tu.

Kami turun dari lebuhraya di interchange simpang empat dan terus menuju ke Port Dickson. Cuaca masa tu bagus sahaja,tak lah panas terik. Sampai di Port Dickson kami rehat sekejap, dan member ni beritahu kat situ agak boring dan ajak kita teruskan perjalanan melalui jalan lama di tepian laut menuju ke Morib. Katanya di Morib ada banyak chalet untuk kita bermalam. Entah lah, saya pun tak tahu hal ni kerana saya tidak pernah ke Morib sebelum ini. Jadi saya ikut sahaja cadangan member ni dan nampaknya member ni benar-benar bersemangat. Ingin juga nak tenguk Morib yang selama ini saya hanya pernah dengar namanya sahaja.

Dalam perjalanan tu, awan semakin gelap dan tanda-tanda hujan nak turun. Nampaknya kena hujan lah kita kalau teruskan perjalanan. Tentu sejuk ni, maklumlah hari dah semakin petang. Saya yang berada di hadapan akhirnya beri signal dan masuk ke simpang rumah kedai di tepi jalan tu. Member kat belakang ikut sama. Hujan semasa tu dah mula turun. Basah jugalah sikit-sikit. Di situ kita duduklah di bawah rumah kedai yang sudah tutup sambil berbual-bual kosong, hilangkan boring. Hujan tak juga berhenti. Sekejap berdiri, sekejap duduk atas motor... semuanya tak kena. Lebih kurang jam 8:00 malam baru hujan mula rintis dan kami beranikan diri untuk teruskan perjalanan. Jalan penuh dengan takungan air, kena ciluk-ciluk elakkan takungan ni. Menyampah juga rasanya. Visor helmet pulak kita tak boleh guna tutup muka kerana rintisan hujan menyebabkan cahaya lampu kereta di depan mensirnakan mata. Payah juga nak menunggang motosikal dalam keadaan malam yang hujan seperti ini, punyalah perlahan kami menunggang. Jalan menghala ke Morib tu pulak bukannya bagus sangat. Banyak dengan selekoh dan jalan yang tidak rata dan berlopak penuh dengan air. Kalau hari siang dan keadaan kering syok juga boleh lipat, ini pulak malam dan hujan pulak tu.

Beberapa kilometer sebelum sampai Morib kami berhenti sekejap di stesyen pam minyak. Entah apa nama pekan kecil tu. Dah malas nak tenguk nama pekan tu, asyik nak cepat sahaja sampai ke Morib. Berhenti jer motor kat stesyen minyak tu, apa lagi cari tandas ler, tangki dah penuh. Badan pun dah beku, bila buka sarung tangan jer... adussss! Apa ni, tapak tangan dah jadi hitam legam. Tak guna punya glove. Glove ni baru beli untuk menggantikan glove lama yang dah terlalu season tu. Anda semua nak tahu apa jenamanya? Sini saya cakap terus terang, tak perlu sorok-sorok, seperti mana Dunia Moto pernah kata, kalau bagus kami kata bagus, kalau tak bagus takkan kami nak bohong. Sarung tangan tu jenis Enfield model sports gloves NT-168-01. Saya beli dengan harga RM 50.00 beberapa hari sebelum trip ini. Kenapa syarikat ini guna pewarna yang mudah sangat menurun. Lekat pulak warna tu kat tangan, susah betul nak hilangkan dengan membasuh. Isssh!!

Si Boy tu pulak lagi best ceritanya. Dia sedang duduk kat luar bilik air tu dengan seluar dan jaket habis dah basah sambil perah stokin dia. Ye, betul!!.. member ni tengah perah setokin dia! Pakai setokin panjang-panjang, habis basah semua. Kata orang, dalam kasut dah jadi macam kolam, boleh bela anak ikan! Hehehehe. Bila saya ceritakan bab ni di pejabat dengan member-member lain setelah pulang, member semua ketawa terbahak-bahak. Si Boy sengeh jer. Inilah gara-garanya apabila bermotosikal jenis easy rider dalam hujan, menadah hujan betul! Pengalaman... pengalaman. Setelah keperluan diri kita bereskan, kita teruskan lagi perjalanan. Kali ini semangat dah mula menurun. Nak cepat sahaja sampai ke Morib dan cari chalet untuk tidur.

Di Morib, kita puas cari chalet ke hulu ke hilir. Namun satu pun tak jumpa. Entah sebab mata dah kelabu ke... atau memang tak ada chalet langsung kat situ, kami pun tak tahu. Kemudian setelah putus asa, kami berhenti kat kedai makan untuk makan malam. Jam dah hampir 10:00 malam ketika itu. Kena mee hailam panas serta sup sayur best juga. Terasa hangat sikit badan yang dah kaku tu. Kami berborak berdua untuk naikkan semangat yang sudah pudar tu semula. Si Boy bertanya pada budak di kedai makan tu samada ada chalet tak kat Morib tu, dari penjelasannya di Morib memang tak ada chalet tapi ada sebuah hotel dekat dengan padang golf. Ini bermakna tak adalah peluang saya untuk mandi laut esok paginya kerana biasanya hotel terletak jauh sikit dari pantai berbandingkan chalet-chalet. Setelah selesai makan saya keluarkan duit untuk membayar, tetapi terpaksa menghulurkan duit dengan tangan telungkup kerana malu sekiranya terlihat tapak tangan yang hitam tu. Bila pekedai nak beri wang baki, kena buat-buat sibuk dengan kotak rokok dan tunjukkan isyarat supaya wang itu diletakkan sahaja di atas meja. Mesti pandai berlakon beb!

Terus cari hotel tu. Hotel Sri Morib namanya. Sampai sahaja, syukur kerana masih terbuka dan front desk masih ada staff. Maklumlah ketika itu dah hampir 11.00 malam. Kami tanyakan bilik dan jawapannya ringkas ADA. Alhamdulillah. Tanya harga, kata receptionist tu RM 74.75 tapi kena bayar RM100.00 sebagai deposit. Saya pandang si Boy dan Boy mengangguk-angguk tanda setuju tanpa fikir panjang lagi. Dah penat ler tu agaknya. Masuk ke bilik sewa hati rasa lega, bilik bersih dan kemas dengan pintu kaca besar menuju ke balcony . Radio tak ada tapi sebuah TV besar disediakan, kami takde masa langsung untuk menonton atau check apa channel yang ada. Saya terus tanggalkan pakaian dan masuk ke bilik air. Sebentar sahaja saya sudah keluar semula menuju ke telefon. Kecewa, saya menanyakan front desk kenapa hot shower tak berfungsi? Member bawah tu jawab kena tunggu lama sikit untuk air tu panas. Saya masuk semula, dan buka hot shower dan biarkan dia begitu sahaja. Lima minit menjadi sepuluh minit, hot shower tu macam tu juga tak panas-panas. Check lagi setelah 20 minit barulah tanda-tanda mula panas. Ahh! Lega dapat mandi air panas.

Malam lena. Tetapi saya terjaga awal subuh terasa perut sakit. Entah sebab makan Mee Hailam malam tadi agaknya. Selepas subuh tidur semula. Bangun jam lapan pagi, sudah kedengaran bunyi kereta kecil kegunaan pemain-pemain golf. Saya jengah melalui jendela dan melihat ramai pemain golf sedang bersiap-sedia untuk beriadah. Ahad pagi, katakan. Padang golf di belakang hotel tu menarik juga perhatian saya. Hijau, jauh mata memandang. Sempat juga kami ronda-ronda kawasan hotel pagi-pagi tu. Barulah nampak kemudahan-kemudahan yang ada di situ. Kolam renang pun besar juga dan bersih, tapi kami tak ada masa untuk itu semua.

Jam 9:00 pagi kami dah check-out. Bersarapan di tepian laut dekat pantai Morib, pekena nasi lemak. Dan selepas tu, teruskan lagi perjalanan untuk ke Bukit Frazer. Cuaca terang, semangat pun gemilang. Jalan antara Banting menuju ke Klang pula sedang dalam pembinaan untuk dibesarkan dan keadaan lalu lintas agak sibuk sikit. Kami masuk ke Lebuhraya Persekutuan menuju ke Shah Alam. Tapi boring juga melalui lebuhraya ni kerana kena lalu di laluan sikal sepanjang perjalanan ke Shah Alam tu. Tidak boleh menunggang laju di sini, hanyalah sekitar 80 kph. Ada banyak pulak terowong-terowong kecil di bawah jejambat lebuhraya itu dan keadaannya kurang menyenangkan sedikit. Jadi kami terpaksa berhati-hati di sini. Kereta di laluan sebelah dalam lebuh raya lari berdesup tinggal asap sahaja.

Lepas Shah Alam perjalanan semakin seronok kerana kami sudah pun masuk ke dalam lebuhraya menuju ke utara. Lebuh raya besar dan pemandangan pun bagus di tepi bukit-bukit berbatu. Kami melungsur dengan keadaan cukup selesa, tidak terlalu pantas atau terlalu perlahan mengikut aliran trafik. Sekali-sekala saya pandang Boy di dalam cermin pandang belakang, steady sahaja dengan cruiser dia. Nampak gagah dan mantap crusier tu dari jauh. Saya dapat rasakan Boy tentu selesa dengan laluan ini.

Kami keluar dari lebuhraya di persimpangan Tanjung Malim menuju ke Kuala Kubu Baru. Jalan ini pun seronok juga, taklah sibuk sangat dan banyak juga selekoh-selekoh yang lebar dan rata. Semangat semasa itu memang meninggi dan keadaan cuaca sungguh cerah sekali. Kami tidak berhenti langsung di Kuala Kubu Baru dan terus menuju ke Gate untuk mendaki Bukit Frazer. Wow, Jalan ini lebih menyeronokkan. Di sini ada lebih banyak selekoh tajam dan pemandangan pokok hijau dan bukit-bukau kiri kanan menanmbahkan lagi perasaan kebebasan bermotosikal. Layan sahaja tiap-tiap selekoh itu... kekadang dengan gear tiga, kekadang dengan gear empat. Di sini gear lima dan gear enam kita lupakan sahaja buat sementara. Tak guna pun. Walau pun saya berada di hadapan, kadangkala tu terdengar juga bunyi deruman enjin Vulcan di belakang saya. Bunyi yang keluar dari enjin besar 750 cc twin itu sungguh padat. Saya dapat rasakan betapa seronoknya jika dapat bermotosikal jenis cruiser seperti itu di jalan seperti ini.

Semakin tinggi kami mendaki semakin segar dan dingin terasa udaranya. Di pertengahan perjalanan itu, kami melalui satu jambatan besi dangan gaung yang sungguh jauh ke bawah. Kami berhenti seketika di situ untuk bergambar. Tempat ini agaknya sungguh popular kerana ada banyak kereta yang berhenti. Apabila kami lihat ke bawah dalam gaung itu, rupanya di situ ada laluan sungai kecil yang berbatu-batu dan airnya sungguh laju. Ramai orang sedang berkelah dan mandi-manda di bawah. Kami tidak turun ke bawah, kerana terasakan tempat itu agak jauh dan sudah tentu nanti nak panjat balik ke atas mesti mengah punya. Lagi pun kami tak nak tinggalkan beg kami yang diikat diatas seat motosikal tanpa diperhatikan. Sempat juga kami bergambar di situ. Selepas menghabiskan sebatang rokok kami teruskan perjalanan.

Tidak lama kemudian kami sampai di Gate. Bagi mereka yang belum pernah ke tempat ini mungkin terasa hairan kenapa pulak tempat ini dipanggil Gate. Sebenarnya mula dari sini untuk mendaki Bukit Frazer laluan mulai menjadi sempit dan hanya satu laluan sahaja dibenarkan pada setiap jam. Ertinya sekira laluan di buka untuk kenderaan dari puncak Bukit Frazer turun, maka gate di kaki bukit itu pula ditutup, tidak membenarkan kenderaan untuk mendaki lalu. Ini adalah untuk mengelakkan dua kenderaan yang bergerak dari arah yang bertentangan daripada bertembung. Jarak dari Gate ini ke puncak Bukit Frazer hanyalah 7 kilometer dan sebuah kenderaan mengambil masa purata 20 minit untuk sampai ke puncak bukit.

Ketika kami sampai di Gate itu, jam sudah hampir pukul dua dan gate masih lagi ditutup untuk membenarkan kenderaan dari atas turun. Kenderaan-kenderaan lain sudah banyak berbaris menunggu gate dibuka. Di situ juga terdapat banyak warung-warung untuk mereka minum atau rehat sekiranya terasa bosan menunggu dalam kereta. Kami park motor di tepi dan rehat sebentar melihatkan keadaan sekeliling. Masing-masing semuanya setia menunggu.

Lampu hijau menyala dan gate dibuka, masing-masing perah minyak dan bermulalah adegan macam rally. Yang kereta ada yang berkokok tayar, manakala yang bermotosikal ciluk kiri dan kanan. Masing-masing ikut aliran trafik, tidak boleh terlalu perlahan kerana takut akan menggangu kenderaan di belakang pula. Berderet-deret kenderaan naik bukit, rapat-rapat pulak tu. Lagi pun sepanjang pendakian ini kita terpaksa laju sikit untuk maintain momentum kenderaan supaya terhindar dari mengguna gear satu. Sepanjang pendakian itu saya menggunakan gear dua. Kalau slow jer sikit terpaksalah masuk gear satu, kalau tidak motor tentu tersenggut-senggut. Jadi ikut sahajalah aliran trafik tadi. Agaknya kalau dalam keadaan ini, ada satu sahaja kenderaan bagi masalah, teruk ler yang lain tu. Berderetlah semuanya merangkak naik ke atas. Kita yang bermotosikal bolehlah mencelah sikit.

Jalan ini saya rasakan tidak berubah langsung dari dulu. Tahun 1991 saya pernah melalui jalan ini dengan KR 150 . Rasanya sama sahaja, tiada perubahan apa-apa pun. Agaknya susah nak lebarkan jalan ini kerana banyak sangat gaung-gaung yang dalam di tepi dan bukit-bukit batu pula di tepi yang satu lagi. Yang ngerinya pulak tu, tembok-tembok yang didirikan di tepi gaung tu bukanlah tinggi sangat cuma satu atau dua kaki sahaja. Kalau salah budget dalam mengambil selekoh tu , tayar dengan rim 17 inci rasanya mudah sahaja melepasi tembuk setinggi itu untuk ke bawah. Eeeeeee... Seram juga kalau memikirkannya.

Perah minyak, ciluk, perah minyak ciluk dan baringkan badan ke kiri dan ke kanan. Asyik gitu je lah, hinggalah kami sampai ke puncak Bukit Frazer. Sampai sahaja ke puncak Bukit Frazer tu, motor saya buat hal lagi. Tersenggut-senggut... hah sudah! Sama macam dulu semasa naik ke Genting Highlands tu. EEE.. boringnya. Cuba start, tersenggut-senggut dan kemudian bila lepaskan sahaja minyak ia terus mati. Asyik gitu sahaja. Menyampah betul. Malas dah nak fikir lagi dan saya terus letak sahaja di tempat parking. Jam ketika itu sudah hampir jam 2:30 petang dan perut kami terasa lapar. Kami bincang supaya kita makan sahaja dulu dan kemudian baru fikirkan pasal ZZR tu.

Mudah sahaja untuk cari tempat makan di situ. Tempat makan ni adalah salah satu yang pertama sekali anda akan lihat apabila sampai ke kemuncak. Tempatnya pun cantik beratapkan kayu di litupi plastik cerah. Tempat ni di panggil Puncak Inn. Harga makanan pun boleh tahan, taklah terlalu mahal. Sepinggan nasi goreng biasa harga RM4.00. Kira okey ler tu. Kami makan nasi goreng dan teh-0-ais limau.

Siap makan, cuba hidupkan semula motor dan perah minyak kuat-kuat. Senggut pun senggutlah, gasaklah motor asalkan boleh jalan, saya terus menunggangnya ke masjid yang berdekatan. Kami jama'kan zuhur serta asar dan kemudian becadang untuk melawat tempat tempat yang menarik. Sebenarnya selepas makan tadi saya sudah ke tempat tourist info centre. Anda boleh dapatkan risalah kecil berupa peta yang menunjukkan tempat tempat yang menarik. Saya menumpanglah member punya Vulcan tu. Best juga duduk belakang, tak payah susah-susah nak memandu. Terasa kehebatan tork enjin motor ini apabila dia perah minyak untuk mendaki bukit dalam gear dua. Dengan pusingan enjin sekitar 2,000 rpm sudah boleh memecut mendaki bukit.

Tempat yang pertama kami pergi ialah Muzium. Tapi kenapa pulak Muzium tu tutup? Entahlah. Nampaknya macam dah tak berfungsi sahaja. Dan kemudian kami ke Tasik Frazer. Dalam gambar, tasik ni nampak besar siap dengan perahu yang boleh berkayuh dengan kaki untuk berdua, tetapi bila sampai... Alamak! Macam kolam ikan untuk memancing sahaja. Tak singgah pun, Si Boy terus buat U-turn. Tempat ketiga pula, kami pergi ke kawasan air terjun. Tempat ini memang jauh. Puas kontrol badan, apabila si Boy ciluk-ciluk keliling bukit-bukit untuk sampai ke tempat ini. Hati takut juga, maklumlah duduk kat belakang ni bukan sama dengan menunggangnya sendiri. Jauhnya adalah 7 kilometer lipat-melipat, turun naik bukit. Saya tak akan cerita hal air terjun ni pada anda semua. Kalau anda ingin tahu dan berjiwa adventurous, anda pergilah ke tempat ini dan saksikan sendiri. Mungkin anda akan puas hati atau mungkin anda akan ketawa besar. Selain dari tempat tempat ini, kami hanyalah banyak bergambar untuk buat kenangan.

Apabila sudah pukul 5:00 petang kami bercadang nak pulang. ZZR tu bolehlah bergerak, cuma semput-semputnya tak hilang lagi. Tapi saya yakin semputnya akan hilang apabila kami menuruni bukit nanti. Pusing punya pusing baru teringatkan yang kami belum lagi mengisi minyak semenjak dari Banting lagi, jauh tu. Minyak Vulcan dah hampir kering. Sudah!! Mana nak cari minyak kat atas bukit ni? Rancangan kami pulak, selepas ini kami nak turun dan lalu jalan ke Bentung, kemudian ke lebuh raya Karak. Jauh lagi tu. Kami tanya orang, katanya di kedai runcit dekat dengan Gate atas itu ada jual minyak. Kami juga bertanya samada minyak itu boleh digunakan dan tidak dicampur minyak tanah. Jawapan yang diberikan memang best sekali. Memang meyakinkan. Nak tahu apa dia kata? Katanya, dulu kereta Porsche pun ada mengisi minyak kat situ. Kah! Kah! Kah!, kami ketawa besar. Ini mesti kes kehabisan minyak di atas bukit ni.

Tak kisah lah tu semua, si Boy isi 3 botol saiz 1.25 liter manakala saya hanya mengisi satu botol sahaja kerana masih banyak lagi dalam tangki. Masa tu Gate masih tutup dan kami terpaksa menunggu sehingga jam 6:00 petang. Sambil menunggu, kami lihat ramai bikers yang sedang mendaki. Ada sekumpulan anak-anak muda dengan motor jenis cub. Handal juga dia orang. Tak semput pun motor mereka. Tunggu punya tunggu, gate belum lagi buka yang datang lain pulak. Hujan... hujan turun lebat betul. Cuaca di sini berubah sangat pantas. Mungkin hujan dibawa awan yang melalui bukit ini. Akhirnya tepat jam 6:00 gate dibuka dan semasa tu dah berderet kereta menunggu untuk turun, jadi kami biarkan kereta pergi dulu. Kamilah yang penghabisan sekali menurun. Hujan lebat jalan licin, berliku-liku pulak tu. Keras badan dibuatnya untuk mengawal motor. Kami turun cukup perlahan dengan gear dua sahaja. Apabila kami sampai di Gate bawah, hujan masih lagi turun tidak berhenti-henti. Kami teruskan juga perjalanan menuju ke Bentung. Jalan di situ pun penuh dengan selekoh-selekoh tajam. Terasa menyampah pulak melihat selekoh-selekoh ini. Dalam hati bilalah nak jumpa jalan lurus semula. Tak habis-habis selekoh, hari dah gelap pula. Kami semua dah basah lencun. Boot dah jadi kolam lagi. Tapak tangan ni mesti dah jadi hitam lagi ni. Adusssss!

Sampai juga kami ke Bentung akhirnya. Alhamdulilah. Terus cari stesyen pam minyak untuk isi minyak motor dan menunaikan solat jama' lagi. Saya sempat tukar pakaian kering yang tersimpan dalam "boot" Givi carrier bag tu. Tapi Boy tidak ada langsung pakaian yang kering lagi. Kesian dia, habis semua basah. Tentu sejuk malam tu. Kami makan malam di Bentung. Makan satay. Saya pesan 30 batang ingatkan boleh habis. Rupanya satay di sini cukup besar saiznya. Harga sama sahaja iaitu 30 sen secucuk. Kami tidak dapat menghabiskan 30 cucuk tadi. Jikalau anda ke Bentung, jangan lupa makan satay di sana, cukup puas hati. Jam 9:00 malam selepas makan satay dan kopi-O panas kami mulakan perjalanan terus tanpa berhenti menuju ke selatan melalui lebuhraya Karak. Si Boy cukup lasak orangnya. Menunggang sebuah cruiser tengah-tengah malam dalam keadaan basah tanpa windshield dan fairing memang memerlukan seorang yang betul-betul lasak. Saya dengan pakaian kering dibelakang windshield dan fairing pun terasakan dingin pada malam itu. Saya kagum dengan keupayaan Boy ni. Mungkin kerana dia masih muda lagi. Baru berumur 32 tahun. Dan memang pun gelarannya di tempat kerja, kami orang memanggilnya Boy. Saya ingin menambah "Boy Macho"!. Tiga setengah jam kemudian kami telah sampai di lokasi bermulanya kembara ini... Muar...

Rashid Mustafa - acidmustafa@hotmail.com